Jumaat, 8 Mei 2015 | 9:19am

Sultan Perak, Raja Permaisuri mula istiadat ziarah makam

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim memulakan istiadat ziarah makam-makam bermula di Makam Tok Temong sempena pertabalan baginda.

Baginda berdua berangkat tiba di Makam Tok Temong di Kampung Temong, Mukim Chegar Galah di sini pada jam 9.10 pagi.

Tok Temong adalah pemerintah di daerah Temong sebelum bermulanya pemerintahan Sultan Muzaffar Shah I (1528-1549) iaitu Sultan Perak yang pertama.

Pada hari pertabalan Sultan Muzaffar Shah I, Tok Temong menghadiahkan sebuah Geliga Embun yang dijadikan sebagai salah satu daripada alat kebesaran negeri Perak hingga hari ini.

Beliau juga orang yang bertanggungjawab menyerahkan jajahan Ulu Perak kepada kerajaan Perak yang ada kini.

Petang ini, baginda berangkat menziarahi Makam Raja Alang Iskandar (Marhum Teja) di daerah Kampar.

Bermula Ahad ini pula baginda akan mula menziarah Batu Peringatan dan Makam-Makam Sultan terdahulu.

Istiadat Menziarahi Makam menjadi adat warisan pertabalan Sultan Perak yang ditabalkan sebagai Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan.

Berita Harian X