Rabu, 10 September 2014 | 11:21am

Bukan inspirasi nama pereka fesyen Amir Luqman

[email protected]

Babak menarik di dalam filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut.

KUALA LUMPUR: Sutradara, Mamat Khalid menjelaskan buah tangan terbaharu sentuhan tangannya, Amir & Loqman Pergi Ke Laut tiada kena mengena dengan nama pereka fesyen tinggi lampai, Amir Luqman.

Bertemunya, malam semalam ketika pratonton filem berkeadaan diadakan, Mamat memberitahu, dua watak utama yang dilakonkan Shuk Balas dan Shuib Sepahtu itu diinspirasikannya sudah lama sejak 16 tahun lalu.


Mamat Khalid serius ketika memeperkatakan sesuatu kepada dua watak utama filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut, Shuk Balas dan Shuib Sepahtu.

"Saya sendiri pun tak tahu wujud nama pereka fesyen Amir Luqman. Tapi cerita ini saya sudah ilhamkan bertahun lamanya. Malah ketika itu cerita ini saya bentangkan untuk dijadikan telefilem. Tapi stesen TV tolak kerana menyifatkan cerita ini agak ganas," katanya kepada BH Online di Cathay Cineleisure.

Filem terbitan Astro Shaw yang bakal ditayangkan bermula 25 September ini mengetengahkan genre komedi samseng. Ia filem ketujuh sentuhan Mamat bersama Astro Shaw.


Babak menarik di dalam filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut.

"Penonton Malaysia sering disogok dan didedahkan dengan cerita gangster tak kira tempatan mahupun antarabangsa. Namun adakah kita tahu di sebalik dunia gangster ini terselit pelbagai cerita kemanusiaan. Termasuk kisah orang yang hendak keluar dan lari dari dunia berkenaan.

"Watak yang dalam filem ini diwujudkan berdasarkan kumpulan gangster yang pernah saya tahu di Ipoh. Malah latar tempat pun kebanyakan saya lakukan di Ipoh juga," kata Mamat.

Amir & Loqman Pergi Ke Laut turut dibintangi Soffi Jikan, Zarina Anjoulie, Kuni, Nadia Mustafar, Kazar dan Rashidi Ishak. Menariknya Bell Ngasri dan Adi Putra turut ditampilkan sebagai cameo lelaki lembut.

Pada pandangan BH Online filem ini masih boleh ditonton dan tidak membosankan.

Berita Harian X