Sabtu, 9 Mei 2015 | 1:59pm

Caruman pendeposit tidak terusik - Pengerusi TH


GAMBAR fail. Pengerusi Kumpulan Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. - FotoMohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) memberi jaminan wang pendeposit tidak akan terjejas atau hilang dengan pembelian satu plot tanah di Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB, sebelum ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Datuk Abdul Azeez Rahim minta semua pendeposit supaya tidak risau dengan provokasi politik yang kini tersebar meluas di media sosial.

"Saya harap mak cik dan pak cik di kampung jangan risau, kita tidak ambil langsung duit pendeposit untuk beli tanah 1MDB itu.

"Kalau tidak percaya bolehlah kemas kini akaun masing-masing sama ada kita (TH) telah menggunakan duit mereka. Simpanan adalah terjamin walaupun RM1, itu jaminan TH dan juga kerajaan kepada pendeposit," katanya dalam sidang media di sini

Azeez menjelaskan, hanya 15 peratus daripada alokasi aset TH akan digunakan untuk tujuan pelaburan hartanah.

Katanya, pelaburan ini perlu bagi memastikan TH mampu memberi dividen kepada pendeposit setiap tahun selain memberikan subsidi kepada bakal jemaah haji.

"Sebanyak 15 hingga 20 peratus (sekitar RM11 bilion) diperuntukkan TH untuk pelaburan hartanah. Kini TH hanya melabur 10 peratus (RM5.6 bilion) daripada peruntukan pelaburan itu," katanya.

Azeez berkata, setiap tahun, TH juga berjaya menjana pendapatan yang baik dan keuntungan itu, paling utama akan digunakan untuk subsidi dan pengurusan haji, seterusnya TH akan mengagihkan keuntungan melalui hibah bonus tahunan.

Katanya, sepanjang tempoh 10 tahun ini juga, TH telah membayar kadar purata pulangan melebihi enam peratus.

Pada tahun 2013, TH membayar dividen sebanyak 8 peratus manakala pada 2014 jumlahnya meningkat kepada 8.25 peratus.

105 dibaca
Berita Harian X