Ahad, 10 Mei 2015 | 3:26pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzudddin Shah menyiram air mawar ke Makam Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah, Sayong dekat Kuala Kangsar ketika menyempurnakan istiadat menziarah makan. - Foto Muhaizan Yahya

Sultan Nazrin, Tuanku Zara ziarah 10 makam, batu peringatan

KUALA KANGSAR: Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim hari ini berangkat menziarah 10 makam sultan terdahulu dan satu batu peringatan bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.

Pasangan diraja itu tiba di lokasi Batu Peringatan Sultan Mansur Shah I yang juga Sultan Perak kedua, di Masjid Kota Lama Kanan kira-kira 9 pagi.

Sejurus selepas itu, majlis tahlil dan bacaan doa selamat diadakan dengan dipimpin oleh Imam Masjid Kota Lama Ismail Nordin.

Sultan Nazrin Shah turut menunaikan solat sunat di masjid berkenaan dan pasangan diraja itu dilihat memegang Batu Peringatan Sultan Mansur Shah I.

Mengikut sejarah Perak, Sultan Mansur Shah I ghaib ketika solat Jumaat di masjid itu dan penduduk setempat mempercayai baginda sudah mangkat.

Sultan Mansur Shah I tidak mempunyai makam dan batu peringatan itu diletak dalam masjid berkenaan bagi memperingati baginda.

Pasangan diraja itu kemudian menziarah makam Sultan Ali Al Mukammal Inayat Shah yang juga Sultan Perak ke-24 di Gedong Siam, Sayong dan makam Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzafar Shah (Sultan ke-27) di Masjid Sayong Tengah.

Pada sebelah petang, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara berangkat menziarah makam-makam Sultan Abdullah Muhammad Shah II (Sultan ke-26), Sultan Idris Murshidul'adzam Shah 1 (ke-28), Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (ke-29), Sultan Iskandar Shah (ke-30), Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah (ke-31), Sultan Yussuff Izzuddin Shah (ke-32), Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Allahi Shah II (ke-33) dan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (ke-34).

Semuanya di Makam Diraja Bukit Chandan atau dikenali sebagai Makam Diraja Al-Ghufran yang terletak bersebelahan Masjid Ubudiah.

Baginda berdua menyiramkan air mawar serta menaburkan bunga ke atas makam-makam berkenaan, selain diadakan majlis tahlil dan doa selamat.

- BERNAMA

Berita Harian X