Ahad, 10 Mei 2015 | 3:35pm

Dua lelaki edar dadah dijatuhi hukuman mati

ALOR SETAR: Dua lelaki dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini selepas didapati salah mengedar dadah jenis heroin dan monoacethylmorphines seberat 196.4 gram di Sungai Petani, kira-kira tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abd Wahab, menjatuhkan hukuman itu ke atas K Siva, 32, dan S Satish, 22, pada prosiding keputusan di akhir kes pembelaan.

Mengikut kertas pertuduhan Siva yang bekerja sebagai tukang pendawaian dan Satish sebagai mekanik dituduh mengedar dadah jenis heroin seberat 156.1 g dan monoacetylmorphines 40.3 gram di hadapan lorong bangunan HPA di Jalan Cempaka 1, Bandar Aman Jaya, Sungai Petani pada jam 7 petang, 19 Julai 2012.

Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39b (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam T Jayaraj.

Berita Harian X