Isnin, 11 Mei 2015 | 12:07am
SELEBRITI, Mia Ahmad dan Syarul Ridzwan di lokasi Drama Hati Perempuan. -Foto Hasriyasyah Sabudin
SELEBRITI, Mia Ahmad dan Syarul Ridzwan di lokasi Drama Hati Perempuan. -Foto Hasriyasyah Sabudin

Betulkah hero Hati Perempuan mula letak harga?


KUALA LUMPUR: Beberapa bulan kebelakangan ini, nama pelakon Syarul Ridzwan hangat diperkatakan. Di saat drama lakonannya, Hati Perempuan sedang hangat disiarkan di TV3 menerusi slot Akasia di samping Mia Ahmad, bertalu-talu pula cerita negatif yang mula bertebaran.

Syarul dikatakan sedang berdepan dengan sindrom mula lupa diri apabila nama mula mendaki tangga populariti dan terus menjadi kegilaan ramai, termasuk rumah produksi dan stesen TV.

Sebelum ini, beliau dikatakan sudah sombong, makin sukar untuk dihubungi serta kurang memberi kerjasama kepada media. Terbaharu, timbul pula cerita Syarul sudah mula meletakkan harga tinggi atau dengan kata lain, demanding. Satu senario yang seakan-akan sinonim dengan artis apabila nama pula menjadi sebutan dan penampilan menjadi rebutan.

BH Plus berjaya mendapatkan komennya menerusi aplikasi WhatsApp berhubung dakwaan ini.

"Mengenai demanding itu, saya tak pernah dengar pula yang saya ini sudah mula meminta itu dan ini. Apa yang ada cukuplah rezeki untuk saya. Cukup sekadar saya ada duit untuk bayar kereta, rumah dan berkongsi rezeki dengan ibu bapa. Itu sudah memadai dan saya memanjat kesyukuran. Saya tak tahu pihak mana yang mendakwa saya sebegitu.

"Biarlah saya dinilai daripada bakat lakonan. Saya tahu, diri ini masih baharu dan saya tak rasa diri ini sudah mula demand," katanya.

DARI kanan, pelakon, Shukri Yahaya, Hisham Harun dan Syarul Ridzwan pada Anugerah Bintang Popular 2014 (ABPBH) di Arena Of Stars. - Foto Surianie Mohd Hanif
DARI kanan, pelakon, Shukri Yahaya, Hisham Harun dan Syarul Ridzwan pada Anugerah Bintang Popular 2014 (ABPBH) di Arena Of Stars. - Foto Surianie Mohd Hanif

Mengulas lumrah artis berubah sikap dan diri apabila sudah popular, Syarul dengan ringkas memberitahu perkara itu terpulang kepada individu.

"Saya tak meletakkan apa apa andaian kerana saya tak rasa diri ini sudah popular. Dikenali ramai lagi berat tanggung jawab dan banyak benda perlu dititik beratkan.

"Saya harap kalau saya berubah, tegurlah saya. Insya-Allah. Saya betul-betul minta maaf kalau ada pihak yang tersinggung dengan diri ini, termasuk rakan media," katanya.

Jelas Syarul, beliau tidak sesekali mengetepikan rakan media sebaliknya sedaya upaya memberi kerjasama yang diperlukan.

"Barangkali ketika ada media menghubungi, saya tengah bekerja atau berada di luar kawasan liputan. Saya pun baharu sahaja kembali dari Eropah kerana terbabit dengan rancangan realiti terbitan Astro.

"Saya mungkin terlambat balas mesej yang dihantar rakan media. Saya dengan ini memohon maaf andai perkara ini terlepas pandang. Barangkali juga ada media yang menghubungi saya dengan nombor lagi satu. Sekarang ini, saya hanya pakai satu nombor telefon. Sekali lagi, maaf jika perilaku saya ini menyinggung perasaan media," katanya.

Ketika ini juga hangat dikatakan wujud cinta lokasi atau cinlok membabitkan Syarul dan Mia selepas bergandingan dalam Hati Perempuan. Ada yang mula bercerita, hubungan mereka bukan sekadar rakan lakonan tetapi ada ikatan istimewa. Bagaimanapun, Syarul menafikan sekeras-kerasnya perkara berkenaan.

"Saya kenal dia (Mia) sudah lama dan pernah bekerjasama beberapa kali sebelum ini. Cuma apabila drama lakonan kami ini disiarkan slot Akasia yang ditonton ramai, orang lebih sedar dan mula timbul cerita itu dan ini. Kami berkawan dan tak lebih daripada itu. Saya lebih gemar jika bakat saya diperhatikan berbanding kisah peribadi. Alhamdulillah drama Hati Perempuan kian menaikkan nama saya," katanya.

Syarul bermula sebagai pelakon iklan komersial sejak beberapa tahun lalu sebelum diberikan watak tambahan dalam drama televisyen, seterusnya menerima kepercayaan membawa watak pembantu dan utama. Drama 3 Janji lakonannya bersama Shah Iskandar dan Liyana Jasmay ,yang pernah disiarkan di TV3 adalah produksi sulung yang dibintanginya.

FINALIS Artis Baru lelaki Popular, Syarul Ridzwan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
FINALIS Artis Baru lelaki Popular, Syarul Ridzwan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Info Syarul Ridzwan

* Nama penuh Mohd Saharul Ridzwan Hashim.

* Berusia 26 tahun dan dilahirkan pada 24 Januari 1989.

* Pernah dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2014 tetapi tewas di tangan Hafreez Adam.

* Mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Hero Remaja 2012, yang dimenangi Fattah Amin.

* Drama dan telefilem yang dibintanginya:

Hati Perempuan, Kabin Di Tepi Tasik, Laila Majnun, Untuk Bonda, Cinta Mat Semperit, Sirna, Kata Samseng, Titisan Keinsafan, Yibbie, You Mr Arrogant Raya,

Opps Terlebih Pulak, Klon Ustaz, Hujan Azaril, Cinta, Maskara, Love You Mr Arrogant, Sweetheart Fantasia, Tanah Kubur, Romi Cinta Julia, Kifarah, Cepat, Fajar

Aiman, Berlima Ramadan

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X