Selasa, 12 Mei 2015 | 12:08am
KETUA Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya (kanan) bersama Komander Skuad Taktikal Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterismt Bukit Aman (STAGG) (Datuk Rodhwan Mohd Yusoff menunjukkan kad pelarian (UNHCR) palsu yang berjaya dirampas dalam satu sindiket kegiatan pemalsuan dokumen. - Foto Sharul Hafiz Zam
KAD Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) palsu yang dirampas dalam Ops Cantas Khas Utara. -Foto Amran Hamid

Malaysia jadi tempat lambakan rakyat tanpa negara


SELAIN kehadiran kira-kira sejuta pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk secara haram, Malaysia turut dibanjiri ratusan ribu warga asing yang memegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,Datuk Seri Mohmad Salleh(tiga dari kiri) bersama Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman,Datuk Mazlan Mansor (empat dari kiri) melihat kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) yang palsu ketika mengadakan sidang media Ops Cantas Khas Utara di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda. - Foto Amran Hamid

Rekod UNHCR sehingga 31 Januari lalu menunjukkan seramai 151,838 pemohon suaka serta pelarian berdaftar dari pelbagai negara berada di negara ini. Daripada jumlah itu, 52,788 adalah pemohon suaka, manakala 99,050 adalah pemohon pelarian.

Berdasarkan pecahan negara pula, pemohon dari Myanmar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu terdiri daripada 46,864 pemohon suaka dan 93,726 pelarian.

Ia diikuti Sri Lanka dengan 2,562 pemohon suaka, 1,591 pelarian; Iran (316 pemohon suaka, 262 pelarian), Afghanistan (206 pemohon suaka, 192 pelarian), Palestin (164 pemohon suaka, 287 pelarian) dan Somalia (265 pemohon suaka, 847 pelarian) serta 960 pemohon suaka dan pelarian dari Syria.

KES penipuan dokumen seorang pelarian Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang ditahan dalam serbuan di sebuah kilang di Batu Berendam, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Daripada jumlah itu, 69 peratus pemohon suaka dan pelarian adalah lelaki sementara bakinya iaitu 31 peratus, perempuan. Seramai 32,760 orang pula adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Dilindungi Konvensyen Geneva

Berbeza dengan PATI, pendatang yang memegang kad UNHCR tidak menjadi buruan pihak berkuasa negara ini kerana dilindungi Konvensyen Geneva Berkaitan Status Pelarian 1951 yang mengekang tindakan imigresen.

Namun, seperti juga PATI, kumpulan yang mendapat perlindungan agensi badan dunia itu mencetuskan kebimbangan apabila kehadiran mereka dikaitkan dengan ancaman terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat tempatan.

Penempatan pelarian

Di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang, kawasan berkenaan seolah-olah sudah menjadi penempatan tetap kelompok ini dengan sebilangan besar mereka bebas bekerja di gerai makan dan pasar malam bagi menyara kehidupan.

Situasi ini dapat dilihat di pasar borong Selayang, di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Jalan Tun Perak serta di pasar malam Jalan Raja Bot, Kampung Bahru yang seakan menjadi 'longgokan' pemegang kad UNHCR ini, terutama dari Myanmar.

PEMEGANG kad United Nations High Commissions for Refugees (UNHCR) daripada Rohingya berebut untuk menunjukkan kad pengenalan diri sebelum menerima sumbangan keperluan asas. - Foto Surianie Mohd Hanif

Tinjauan BH Online di Jalan Pudu di ibu negara, Selayang serta Petaling Jaya juga mendapati kebanyakan mereka menyara kehidupan harian dengan mengambil upah secara kecil-kecilan.

Ada yang bekerja sebagai pembantu restoran atau gerai makanan, pekerja am di pasar malam selain upah menjadi buruh binaan dengan pendapatan purata diperoleh sekitar RM15 hingga RM55 sehari.

Sara hidup dengan mengemis

Sikap peramah dan pemurah rakyat negara ini juga sedikit sebanyak membuka ruang kepada kumpulan pendatang ini untuk bebas melakukan kegiatan meminta sedekah dengan hasil yang mampu mencecah ratusan ringgit sehari.

Sebagai contoh, seorang pengemis kanak-kanak Rohingya, Sufi Alam, bertindak menyalahgunakan kad pelarian UNCHR untuk meminta sedekah di sekitar Seksyen 7, Shah Alam.

UNIVERSITI Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menjalin kerjasama menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi melatih belia golongan pelarian kemahiran untuk persediaan ke alam pekerjaan. - Foto NSTP

Dia yang baru berusia 11 tahun mendakwa terpaksa mengemis setiap hari di kawasan berkenaan ekoran keluarganya yang sudah berhijrah ke negara ini sejak 10 tahun lalu, berdepan kesukaran mendapatkan kerja.

BH Online yang sempat mengekori kanak-kanak ini mendapati sepanjang lebih tiga jam dia bersama seorang rakan meminta sedekah, lebih 100 rakyat tempatan bersimpati dan menyumbang sekurang-kurangnya RM1 seorang.

Ini bermakna pendapatan sehari yang boleh diterima Sufi adalah lebih RM100, bergantung kepada tempoh dia mengemis.

Ancaman keselamatan, kesihatan

Kebebasan kumpulan warga asing ini untuk menumpang hidup di negara ini seperti Sufi nyata menimbulkan kebimbangan apatah lagi kemasukan mereka tanpa menjalani sebarang saringan kesihatan seperti mana yang dikenakan terhadap pekerja asing lain.

Situasi seperti ini sudah pasti mengundang kepada risiko kemungkinan penularan wabak penyakit berjangkit seperti tuberkulosis (tibi) dan malaria yang kini pada tahap membimbangkan selepas berjaya dikawal atau dihapuskan.

UNIVERSITI Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menjalin kerjasama menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi melatih belia golongan pelarian kemahiran untuk persediaan ke alam pekerjaan. - Foto NSTP

Daripada aspek jenayah, kemasukan golongan ini terutama warga Myanmar dikaitkan dengan pelbagai perilaku jenayah termasuk bunuh dan gaduh disebabkan perbezaan ideologi dan fahaman agama.

Banyak kes pembunuhan dikaitkan dengan pembabitan kelompok ini, paling dahsyat seperti dilapor di Pulau Pinang pada Disember tahun lalu, membabitkan satu kes pembunuhan kejam dengan mangsa yang terbunuh dikerat anggota badannya.

ANTARA contoh kad persatuan yang digunakan warga asing bagi memohon kad UNHCR. - Foto NSTP

Susulan insiden itu, polis menahan 17 individu dengan 15 daripadanya adalah pemegang kad pelarian UNHCR dari Myanmar, siasatan awal mendapati dendam dan perbezaan ideologi di negara asal menjadi penyebab kepada pergaduhan dan pembunuhan itu.

Berdasarkan kebimbangan ini, sudah pasti tindakan proaktif terutama oleh UNHCR dan kerajaan serta pihak berkuasa wajar dirangka supaya implikasi jenayah dan kesihatan yang berlaku membabitkan kelompok ini dapat dikawal, bagi memastikan kehidupan rakyat tempatan tidak terjejas.

IKUTI PENJELASAN MENGENAI KEDUDUKAN PEMEGANG KAD UNHCR DI NEGARA INI SERTA PENGALAMAN WARTAWAN BH ONLINE MENGIKUTI KEHIDUPAN MEREKA.

Berita Harian X