Selasa, 12 Mei 2015 | 9:42pm

Australia akan tambah AUS$79.6j cari MH370

CANBERRA: Australia akan menyumbang dana tambahan AUS$79.6 juta (RM222 juta) dalam tempoh dua tahun akan datang untuk mencari pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) jika masih belum ditemui dalam fasa pencarian sekarang.

Pencarian pesawat itu yang sudah melangkaui kawasan seluas 60,000 kilometer persegi kini ditumpukan kepada suatu kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi dan dijadualkan berakhir hujung bulan ini.

Tiada sebarang cebisan ditemui daripada pesawat itu yang membawa 239 orang apabila ia hilang pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

"Kerajaan akan menyediakan peruntukan AUS$79.6 juta dalam tempoh dua tahun daripada 2014-2015 untuk mencari pesawat MH370 jika masih tidak ditemui dalam kawasan carian semasa," demikian petikan dalam kertas cadangan bajet negara.

"Peruntukan ini akan meluaskan kawasan carian sebanyak 60,000 kilometer lagi kepada 120,000 kilometer persegi."

Gerakan mencari sedang dilaksanakan Australia, Malaysia dan China. Majoriti penumpang pesawat itu adalah warga China.

Sejumlah AUS$14.4 juta (RM40.2 juta) diperuntukkan pada tahun kewangan semasa kepada agensi yang menerajui gerakan mencari, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia. - AFP

Berita Harian X