Rabu, 13 Mei 2015 | 12:16am
KAWASAN pendatang tanpa izin bersembunyi berhampiran ladang kelapa sawit di Ladang Siang, Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
TEMPAT penyeludupan dan pendaratan pendatang tanpa izin di kawasan Pulau Hijau, Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
LALUAN tikus tempat pendatang tanpa izin bersembunyi dan menuju ke laut di kawasan peranginan Desaru.- Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
ANTARA laluan tikus yang digunakan pendatang tanpa izin untuk bersembunyi di kawasan peranginan Desaru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
PETA lokasi antara laluan tikus di Johor.

Tonto laut ganggu APMM banteras penyeludupan


JOHOR BAHRU: Walaupun sering berlaku kejadian bot membawa pendatang tanpa izin (PATI) karam di sekitar perairan Malaysia, laluan laut masih menjadi pilihan utama mereka untuk keluar dan masuk ke negara ini secara haram.

Walaupun tahu risikonya, mereka sanggup menggadaikan nyawa asalkan dapat pulang ke kampung halaman masing-masing meskipun memilih laluan yang tidak sah dan berbahaya.

Malah, mereka tidak melihat kehadiran penguat kuasa di darat dan laut sebagai halangan kerana jaminan diberi sindiket bahawa mereka tidak akan diganggu kerana sudah 'kawtim'.

Siasatan mendapati dakwaan itu ada benarnya, malah pegawai dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sendiri mengakui ramai anggotanya sudah dibeli.


PENDATANG tanpa izin yang bersembunyi selama tiga hari berhampiran ladang kelapa sawit di Ladang Siang, Kota Tinggi.- Foto NSTP

Sumber dalaman agensi itu berkata, kegiatan keluar masuk PATI kini semakin menjadi-menjadi kerana ada anggotanya menjadikan sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran sebagai lubuk mencari pendapatan tambahan.

Malah, sumber itu melabel anggotanya yang terbabit dengan sindiket itu sebagai 'tonto laut'.

Difahamkan, kira-kira 400,000 PATI keluar masuk negara ini menggunakan lebih 500 laluan tikus di sepanjang pantai Johor.

Beliau mendedahkan kumpulan tonto laut yang didalangi segelintir anggotanya yang bertugas di markas APMM Wilayah Selatan di sini.

Katanya, berdasarkan siasatan dalaman dan risikan yang dijalankan pihaknya sejak setahun lalu mendapati ada anggota tertentu menerima habuan antara RM500 hingga RM1,000 bagi setiap maklumat yang disalurkan kepada sindiket berkenaan.

Difahamkan, modus operandi anggota terbabit ialah dengan menyalurkan maklumat kepada sindiket berkenaan berhubung operasi yang dijalankan APMM di sekitar laut wilayah selatan selepas risikan dijalankan.

"Ada dalam kalangan anggota penguat kuasa yang tahu bahawa operasi akan dijalankan bagi menahan PATI atau penyeludup barang, mereka terlebih dahulu akan memberitahu atau membocorkan maklumat kepada sindiket.

"Sebagai contoh, beberapa minggu lepas apabila APMM Wilayah Selatan melancarkan 10 operasi khas untuk menahan beberapa kumpulan pendatang tanpa izin di sekitar perairan wilayah selatan, tiba-tiba kapal yang membawa mereka menghentikan operasi untuk satu tempoh yang panjang," katanya.


ANGGOTA Imigresen meninjau lorong tikus di kawasan peranginan Desaru. - Foto NSTP

Sumber itu berkata, pihaknya juga mengenalpasti beberapa anggota penguatkuasan APMM yang menggunakan telefon satelit di tengah laut untuk memaklumkan mengenai lokasi serta laluan rondaan mereka di laut.

Anggota terbabit juga didakwa memberikan segala maklumat dianggap sulit, khususnya mengenai pemasangan alat tertentu di laut bagi mengesan kehadiran kapal dan bot pada waktu malam.

"Kita kini sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap beberapa anggota dipercayai terbabit dalam kegiatan tonto laut ini, malah ada kertas siasatan juga sudah dihantar ke ibu pejabat APMM untuk diambil tindakan.

"Selain kertas siasatan dihantar ke ibu pejabat (APMM), kita turut menyalurkan maklumat itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mereka mempunyai kuasa yang luas untuk menjalankan siasatan khususnya memeriksa data panggilan telefon dan akaun perbankan," katanya.

Beliau berkata, perbuatan segelintir anggota yang tidak beretika menyalurkan maklumat rahsia operasi agensi itu disifatkan sebagai tidak bermoral kerana tindakan mereka bukan sahaja menjatuhkan imej APMM, malah boleh mendatangkan ancaman kepada negara.

Berita Harian X