Rabu, 13 Mei 2015 | 12:16am

Strawberi & Karipap kembali di Astro Ceria

ANTARA pelakon yang menerajui drama komedi bersiri musim kedua Strawberi & Karipap di Astro Ceria. - Foto Rohanis Shukri
ANTARA pelakon yang menerajui drama komedi bersiri musim kedua Strawberi & Karipap di Astro Ceria. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Pengarah drama komedi, Strawberi & Karipap musim kedua, Nizam Zakaria menjelaskan dua subjek yang benar-benar mencabar diri jika kerja pengarahannya membabitkan golongan kanak-kanak dan haiwan.

Malahan menerusi pengarahannya untuk drama ini yang membabitkan tiga pelakon kanak-kanak, Nizam mengakui ia benar-benar menguji kesabarannya.

Drama berkenaan kali ini diterbitkan Global Station Sdn Bhd. Manakala musim pertama dan versi telefilemnya dengan judul Strawberi & Karipap Sesat Ke Paris sebelum ini diterbitkan produksi lain.

Sesi sidang media drama yang dilakonkan adik Mia Sara Nasuha, Rykarl Iskandar dan Jelita Kako ini diadakan petang semalam di sebuah restoran di Bangsar Village. Ia turut dibintangi Zizan Nin, Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose.

"Bayangkan ketika saya cakap 'action' pun ada di antara pelakon kanak-kanak ini bersikap main-main. Biasalah, nama pun budak. Malah pada satu tahap, saya perlu masuk ke set penggambaran untuk menyuruh apa yang perlu mereka lakukan.

"Tak dinafikan mengarahkan drama ini membuatkan tahap kesabaran saya diuji. Saya memang paling banyak bersabar melayan kerenah mereka.

"Ia cabaran besar buat saya. Seperti biasa, menerusi drama dan filem arahan yang terdahulu, saya turut menggunakan simbolik warna. Contohnya seperti dalam dalam filem Cinta Kura Kura.

"Untuk drama ini pula saya menggunakan simbolik warna jingga. Saya cuba menunjukkan visual yang menarik menerusi penggunaan warna dan ia boleh disifatkan menjadi kekuatan kepada cerita ini," kata Nizam.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Global Station, Alia Ramly memberitahu ini merupakan kali pertama produksinya menerbitkan drama kanak. Ia menjadi kerjasama kedua syarikatnya bekerjasama dengan Nizam selepas pengarah itu mengarahkan Mr London Ms Langkawi.

"Dia (Nizam) menepati kriteria pengarah yang kami cari. Dia sangat berdedikasi, sabar dan kami sangat berpuas hati dengan hasil kerjanya. Tak lama lagi akan ada lagi projek Global Station dengan Nizam," kata Alia.

Drama bersiri 13 episod ini sudah mula bersiaran sejak 3 Mei lalu setiap Ahad jam 11 pagi secara eksklusif menerusi saluran 611 (Astro Ceria) dan siaran serentak di Maya HD (135). Kali ini Astro Ceria turut bekerjasama dengan Nestle Nestum selaku pihak penaja dengan berbesar hati membawakan kesinambungan kisah Nini dan Haikal dalam drama komedi bersiri ini.

Drama komedi bersiri terbitan Global Station Sdn Bhd ini masih mengekalkan teraju utama musim pertama yang menampilkan Zizan Nin sebagai Paksu Hairi, Nelydia Senrose sebagai Aunty Lisa serta pelakon cilik yang cukup berbakat iaitu Mia Sara sebagai Nini dan Rykarl Iskandar sebagai Haikal. Menarik lagi, musim terbaharu ini juga turut diserikan lagi dengan kehadiran dua watak baru yang diperkenalkan selaku teraju utama iaitu Uqasha Senrose sebagai Aunty Emma dan Jelita Kako selaku Jelita.

Bukan itu sahaja, drama ini juga turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa Fattah Amin sebagai Azam, Elfira Loy sebagai Anna, Sharifah Sakinah sebagai Siti, Amar Baharin sebagai Peguam serta ramai lagi. Drama ini mengisahkan konflik antara Hairi (lakonan Zizan Nin) dan Lisa (lakonan Nelydia Senrose) dan perancangan perkahwinan mereka yang dirancang sepenuhnya oleh Nini (Mia Sara Nasuha) & Haikal (Rykarl Iskandar).

Kemunculan Aunty Emma (Uqasha Senrose) dan anaknya Jelita (Jelita Kako) menyerikan lagi penceritaan Strawberi Karipap Musim Kedua ini.

Ikuti perjalanan kisah hidup mereka menerusi drama komedi bersiri Strawberi & Karipap Musim Kedua yang bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 11.00 pagi secara eksklusif menerusi saluran Astro Ceria (611) dan siaran serentak di Maya HD (135).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X