Khamis, 14 Mei 2015 | 7:02pm

Dua lelaki menyamar polis samun warga asing, ditahan

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun pendatang asing di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), di sini.

Kedua-dua lelaki berusia 18 tahun dan 27 tahun itu ditahan di Serdang dan Kulim, Kedah, semalam selepas polis menerima laporan kes samun daripada seorang lelaki Myanmar pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor, berkata lelaki Myanmar itu membuat laporan disamun tiga lelaki yang mendakwa anggota polis ketika dia sedang tidur di rumah kongsi di Permatang Rawa, di sini, pada jam 5 pagi.

"Tiga lelaki memakai ves polis dilapor masuk ke rumah mangsa dan mendakwa hendak buat pemeriksaan sebelum mengambil telefon bimbit, dokumen serta wang tunai menyebabkan mangsa kerugian RM950," katanya.

Beliau berkata, tiga lelaki terbabit melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Waja kelabu.

Rusli berkata, susulan laporan itu, polis berjaya mengesan dan menangkap seorang daripada tiga lelaki terbabit di Serdang pada jam 10.30 pagi, semalam dan merampas sembilan telefon bimbit, dua helai ves mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebuah kamera serta sebuah kereta Proton Waja.

"Rakannya ditahan di Kulim pada jam 3.30 petang dan siasatan awal mendapati mereka terbabit dalam kejadian samun di Permatang Rawa serta 10 kes samun warga asing di SPT," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan positif dadah itu kini direman bagi membantu siasatan.

Katanya, polis kini sedang mengesan dua lagi rakan mereka yang dikenali sebagai Kimi dan Sham bagi membantu siasatan.- BERNAMA

Berita Harian X