Khamis, 14 Mei 2015 | 8:56pm

Media Prima, TM, Maybank antara 10 syarikat paling telus 2014

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd diiktiraf sebagai antara 10 syarikat paling telus pada 2014 oleh Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG).

Malah, kumpulan pelaburan media bersepadu terbesar Malaysia itu juga adalah antara 10 syarikat yang mempunyai pendedahan baik dari segi prestasi pulangan atas ekuiti (ROE), demikian mengikut Laporan Tadbir Urus Korporat Malaysia-ASEAN 2014 yang dikeluarkan MSWG baru-baru ini.

Syarikat lain yang turut tersenarai dalam 10 syarikat paling telus pada 2014 ialah Telekom Malaysia Bhd (TM), Bursa Malaysia Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Malayan Banking Bhd, Axiata Group Bhd, Malaysia Airport Holdings Bhd, LPI Capital Bhd, UMW Holdings Bhd dan Public Bank Bhd.

MSWG berkata, 100 syarikat senaraian awam terkemuka di Malaysia terus menunjukkan kemajuan dalam standard tadbir urus korporat masing-masing pada tahun lalu.

Ia berkata, hanya sebilangan kecil syarikat perlu untuk terus berusaha meningkatkan amalan dan ketelusan mereka supaya sejajar dengan perubahan pantas jangkaan global.

Dalam laporan itu, MSWG berkata purata skor 100 syarikat terkemuka Malaysia meningkat kepada 76.82 mata pada tahun lalu berbanding 75.99 mata pada 2013.

Katanya, kemajuan yang dicatatkan dari segi skor itu juga menunjukkan syarikat di negara ini terus meningkatkan amalan dan ketelusan dalam mematuhi standard yang tinggi dan ketat.

Dalam laporan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MSWG, Rita Benoy Bushon, berkata secara umumnya, syarikat senaraian awam di Malaysia mencatat kemajuan dalam semua metrik utama tadbir urus korporat beberapa tahun lalu hingga 2014.

Beliau berkata, bagi 2014, bidang yang memerlukan tumpuan yang lebih adalah pendedahan minit mesyuarat agung tahunan.

Antara bidang lain yang perlukan kemajuan juga adalah penyertaan wanita dalam lembaga pengarah, katanya.

Rita juga berkata Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kini sangat penting dan MSWG akan terus memberi penekanan dalam tadbir urus bidang itu dalam penilaian edisi baharu terutama dalam kemapanan dengan 21 parameter dalam kad skor.

Berita Harian X