Jumaat, 15 Mei 2015 | 12:11am

Awie akui berjiwa lembut, mudah menangis

KUALA LUMPUR : Awie kepala gangster. Awie bergaduh lagi. Awie kaki pukul.

Dakwaan seumpama itu tidak asing buat penyanyi rock popular, tambah pula saat ini, ketika rumah tangganya berantakan, berhadapan kes mahkamah, pelbagai kisah keluar, yang seolah-olah mengiyakan tanggapan serong terhadapnya selama ini.

AWIE atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman. - Foto Shiraz Ali
AWIE atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman. - Foto Shiraz Ali

Dengan susuk tubuh tegap, air muka yang agak garang, bermisai dan berjanggut lagi, ibarat lengkap ciri seorang kaki pukul pada pemilik nama Ahmad Azhar Othman ini.

Gementar juga untuk menyentuh topik ini ketika bertemunya, baru-baru ini, walaupun sepanjang mengenali penyanyi popular ini, sisi ditampilkan amat berbeza dengan persepsi yang dilemparkan terhadapnya.

GELAGAT Awie ketika hadir di Mahkamah Majistret Ampang pada Mac lalu. - Foto Surianie Mohd Hanif
GELAGAT Awie ketika hadir di Mahkamah Majistret Ampang pada Mac lalu. - Foto Surianie Mohd Hanif

Soalan diaju disambut dengan gelak tawa.

"Mana ganas," kata Awie sambil bernada manja dengan aksi `lemah-gemalai'.

Memandang dari faktor luaran, memang ramai yang beranggapan Awie seorang yang ganas dan kasar, namun hakikatnya, beliau seorang yang berhati lembut dan senang tersentuh terutama dengan perkara yang membabitkan keluarganya.

AWIE sering dianggap ganas dan kasar. - Foto Shiraz Ali
AWIE sering dianggap ganas dan kasar. - Foto Shiraz Ali

"Sebenarnya, berperwatakan dan berwajah begini, ia anugerah Allah. Tetapi, tidak semua orang tahu apa sebenarnya yang berada dalam hati dan jiwa saya. Saya seorang yang sensitif dan berjiwa lembut. Saya mudah menitiskan air mata apabila ia membabitkan hal keluarga.

"Tak dapat bertemu anak pun, saya boleh menangis," katanya.

AWIE tidak dapat menahan kesedihan pada pengebumian ibunya, Azizah Abdul Hamid, di Tanah Perkuburan Islam Cheras Baru, Mac lalu. - Foto Sairien Nafis
AWIE tidak dapat menahan kesedihan pada pengebumian ibunya, Azizah Abdul Hamid, di Tanah Perkuburan Islam Cheras Baru, Mac lalu. - Foto Sairien Nafis

Awie sama sekali tidak menyalahkan orang ramai yang memandang serong terhadapnya, jauh sekali berasa ralat atau terkesan dengan tanggapan negatif seperti itu.

"Persepsi yang diberikan oleh masyarakat tidak mendatangkan kesan kepada saya. Dengan adanya misai dan janggut serta kes mahkamah begini menguatkan lagi tanggapan mereka. Namun, saya sama sekali tidak menyalahkan mereka," tegas Awie.

Sekali pun sentiasa sibuk, Awie memastikan anak-anak tidak terabai. Beliau mencuri masa untuk sering bersama mereka. Tambahnya, kerja kerasnya dalam bidang seni adalah demi masa depan anak-anaknya.

"Alhamdulillah saya selalu mengambil peluang dalam kesuntukan masa yang ada untuk diluangkan bersama anak-anak. Saya akan cuba dapatkan masa yang berkualiti bersama anak-anak.

"Sebagai seorang bapa yang membesarkan anak seorang diri, saya mencari ruang untuk berada lebih dekat dengan mereka bagi memastikan segala-galanya berada dalam pemantauan saya.

"Anak-anak juga memahami kerjaya saya dan mereka tahu segala kerja keras yang dilakukan adalah untuk masa depan mereka juga," ujar Awie.

Dalam perkembangan terkini, Awie kini sedang giat menjalani latihan bagi mempersiapkan diri untuk konsert Wings Menakluk Kosmos di Tawau pada 21 dan 22 Mei ini.

Selepas konsert di Tawau, Wings akan membuat persembahan bersama gamelan di Istana Budaya.

"Kita akan kontemporarikan muzik tradisional bersesuaian dengan lagu Wings. Kami tampil dengan idea Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia bagi menyatukan semula orang Melayu melalui muzik. Kami akan memilih lagu terbaik dan dialunkan dengan irama tradisional," kata Awie mengakhiri wawancara.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X