Jumaat, 15 Mei 2015 | 8:03am
KIRA-KIRA 3,600 pendatang diselamatkan daripada bot penuh sesak yang belayar dari Afrika ke Eropah. - Foto AFP

3,600 pendatang diselamatkan dekat Itali

CATANIA: Kira-kira 3,600 pendatang diselamatkan daripada bot penuh sesak yang belayar dari Afrika ke Eropah dalam tempoh 48 jam, kata pihak berkuasa Itali.

Mereka cuba menyeberang ketika keadaan laut dikatakan sesuai untuk berbuat demikian.

Pengawal pantai berkata, lebih 600 pendatang dibawa ke tepi pantai dekat Pelabuhan Catania, Sicily manakala 2,500 lagi dari bot dekat perairan Libya.

Kebanyakan mereka yang tiba di Catania dibawa dengan kapal perang British HMS Bulwark dan dikatakan berasal dari Somalia dan Nigeria.

Ketika Libya dihimpit persengketaan, penyeludup manusia dilaporkan bebas membawa pendatang dalam bot yang penuh sesak dan mereka dijangka menyeludup sejumlah 200,000 orang ke Itali tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 30,000 berbanding tahun lalu.

Seorang wanita Nigeria berusia 20 tahun berkata, beliau meninggalkan negara kerana bimbang terhadap bahaya serangan daripada kumpulan bersenjata Boko Haram.

"Keadaan tidak selamat untuk berada di tempat awam seperti gereja dan pasar. Mereka (Boko Haram) mungkin mengebom kawasan itu pada bila-bila masa. Peperangan di Libya semakin teruk. Sebab itu kami membuat keputusan untuk datang ke Itali," katanya.

Sementara itu, sebuah kapal Jerman, kapal Tentera Laut Itali, sebuah kapal dagang dan polis serta pengawal pantai Itali turut mengadakan operasi menyelamat semalam. - Reuters

45 dibaca
Berita Harian X