Rabu, 10 September 2014 | 8:17pm

ETF dan SBL tingkat ekosistem pasaran ekuiti - Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd akan mengambil langkah berhati-hati ke arah mencapai pasaran maju dengan menggalak penerbitan dan dagangan dana diniagakan di bursa (ETF) serta penggunaan pinjaman dan pemberian pinjaman sekuriti (SBL).

ETF adalah dana pelaburan yang disenarai di pasaran saham yang menjejaki indeks seperti Indeks Komposit Kuala Lumpur dan Indeks Modal Antarabangsa Morgan Stanley.

SBL adalah alat yang membolehkan pemegang saham meningkatkan pulangan dengan meminjamkan saham mereka kepada pelabur lain.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Tajuddin Atan, berkata ETF dan SBL meningkatkan ekosistem pasaran ekuiti dan menawarkan pelabur pelbagai produk dan instrumen yang cekap serta kos efektif.

"Pertumbuhan dalam bidang terbabit sering berlaku dalam pasaran maju disebabkan turun naik dan jumlah dagangan yang tinggi.

"Kita sedang bergerak ke arah itu," katanya selepas pelancaran Persidangan ETF dan SBL 2014 di sini, hari ini.

Tajuddin berkata, ETF menawarkan alat dagangan kos rendah yang dinamik dan fleksibel serta menyumbangkan hingga 30 peratus jumlah dagangan dalam pasaran maju.

SBL adalah alat berpengaruh untuk individu dan institusi meningkatkan pulangan dengan meminjamkan saham mereka dan dengan itu membenarkan aktiviti pasaran modal pada tahap lebih tinggi.

"Untuk sesuatu pasaran bergerak ke arah status pasaran maju, semua ciri ini adalah sesuatu yang perlu kita lakukan dan Bursa Malaysia kini cuba meningkatkan tawaran pasaran," katanya.

Setakat 31 Disember tahun lalu, kira-kira AS$1.45 trilion sekuriti dipinjam di seluruh dunia yang mana AS$64 bilion adalah sekuriti Asia.

Di Malaysia, hingga 8 September lalu, SBL yang didaftar di Bursa Malaysia melonjak kepada AS$720 juta berbanding AS$1.15 juta pada Januari 2012.

Setakat 14 Ogos lalu, jumlah sekuriti yang layak untuk SBL meningkat kepada 227 sekuriti tersenarai. - BERNAMA

Berita Harian X