Jumaat, 15 Mei 2015 | 11:32pm

Khairy yakin Chong Wei layak Sukan Olimpik 2016

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Hasriyasyah Sabudin
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Hasriyasyah Sabudin

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin Datuk Lee Chong Wei akan layak beraksi pada Sukan Olimpik 2016, berdasarkan prestasi ditampilkan pada Piala Sudirman yang sedang berlangsung di Dongguan, China.

Beliau berkata jaguh badminton negara itu menampilkan prestasi terbaik walaupun pasukan negara gagal mara lebih jauh pada kejohanan berkenaan selepas tumpas kepada Korea Selatan 3-1 pada saingan suku akhir, semalam.

Khairy berkata walaupun Chong Wei berada di ranking ke-46 dunia, beliau masih mampu menewaskan pemain nombor empat dunia, Srikanth Kidambi dari India di peringkat kumpulan dan pemain nombor lima dunia, Son Wan Ho dari Korea Selatan.

"Chong Wei berada pada prestasi terbaik. Saya yakin dia akan layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Dasar Belia Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini hari ini.

Piala Sudirman adalah kejohanan pertama Chong Wei selepas menjalani hukuman penggantungan lapan bulan, atas kesalahan doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lalu.

Mengulas mengenai prestasi pasukan Malaysia pada Piala Sudirman, Khairy berkata pemain negara berjaya mencapai sasaran mara ke suku akhir seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Walaupun kita kalah kepada Korea Selatan di suku akhir, tetapi kita kalahkan mereka di peringkat kumpulan dan itu menunjukkan kita boleh tewaskan mereka.

"Cuma semalam, apabila beregu lelaki kita kalah, kedudukan tidak memihak kepada kita kerana beregu wanita kita masih belum cukup kuat," katanya

Pada Piala Sudirman 2015, Malaysia menewaskan juara tiga kali Korea Selatan 3-2 dan juga India 3-2 pada saingan peringkat kumpulan.

Namun, impian skuad badminton Malaysia untuk mara lebih jauh pada kejohanan itu berakhir selepas tewas 1-3 kepada Korea Selatan dalam saingan suku akhir.

Khairy berkata pasukan negara kini dalam proses pembinaan semula pemain, di samping melahirkan bakat baharu bagi menggantikan Chong Wei pada masa akan datang. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X