Sabtu, 16 Mei 2015 | 9:16am
JENAZAH Allahyarham Datin Habibah Mahmud selamat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Islamabad malam tadi - Foto BERNAMA
IBU Allahyarham Datin Habibah Mahmud Habsah Umar menyiram air bunga mawar di pusara anaknya selepas selesai Majlis Pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Masjid, Muar pagi tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad

Jenazah isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan selamat dikebumikan

MUAR: Jenazah isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datin Habibah Mahmud yang terbunuh dalam nahas helikopter di utara Lembah Naltar, Pakistan minggu lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Masjid, Parit Yusof Darat, dekat sini, jam 9.10 pagi tadi.

Terdahulu jenazah Habibah disembahyangkan hampir 100 ahli keluarga serta masyarakat setempat di rumah ibunya, Habsah Omar, 77, di Semerah, Batu Pahat.

Jenazah Habibah tiba di rumah ibunya itu kira-kira jam 1 pagi tadi selepas selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 9.25 malam tadi dari Islamabad, Pakistan.

Hadir sama mengiringi jenazah, Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob dan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad.

Berita Harian X