Sabtu, 16 Mei 2015 | 11:59am

309 terima pingat sempena keputeraan Raja Perlis

KANGAR: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menganugerahkan darjah kebesaran dan pingat negeri kepada 309 penerima sempena keputeraan baginda ke-72, esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, daripada jumlah itu, sembilan penerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk Seri dan Datuk manakala selebihnya tidak membawa gelaran.

Beliau berkata pada istiadat penganugerahan di Istana Arau esok, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengurniakan anugerah kepada 35 penerima dan bakinya akan menerima anugerah masing-masing pada sesi lain.

Empat penerima akan dianugerahkan darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri dan lima menerima Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang membawa gelaran Datuk, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, enam penerima dianugerahkan Setia Mahkota Perlis (SMP); 14 Seri Sirajuddin Perlis (SSP); 37 Ahli Mahkota Perlis (AMP); 77 Pingat Makhota Perlis (PMP).

Seramai enam orang menerima Pingat Pekerti Terpilh (PPT); 72 Pingat Jasa Kebaktian (PJK); 76 Pingat Jasa Baik (PJB) dan 12 Pingat Perkhidmatan Lama (PPL), katanya. - BERNAMA

Berita Harian X