Sabtu, 16 Mei 2015 | 4:36pm
 MIA Ahmad dan Syarul Ridzuan di lokasi Drama Hati Perempuan. - Foto Hasriyasyah Sabudin
MIA Ahmad dan Syarul Ridzuan di lokasi Drama Hati Perempuan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Jangan cepat buat kesimpulan - Mia Ahmad

 SELEBRITI, Mia Ahmad di lokasi Drama Hati Perempuan. - Foto Hasriyasyah Sabudin
SELEBRITI, Mia Ahmad di lokasi Drama Hati Perempuan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Nama pelakon baharu, Mia Ahmad ini hangat diperkatakan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Dikatakan berlaku cinta lokasi atau cinlok di antaranya dengan pelakon Syarul Ridzwan selepas sama-sama membintangi drama Hati Perempuan yang sudah pun berakhir pada 14 Mei lalu menerusi slot Akasia TV3.

Syarul sebelum ini yang pernah dicalonkan sebagai Artis Baharu Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 menafikan sekeras-kerasnya yang dia dan Mia ada ikatan istimewa.

Menurut Syarul, mereka hanya berkawan baik dan sudah lama kenal serta beberapa kali bekerjasama sebelum digandingkan dalam drama Hati Perempuan.

BH Online mendapatkan reaksi Mia pula.

"Mereka yang pantas mengatakan kami bercinta itu tak tahu apa apapun sebenarnya. Mereka hanya cakap berdasarkan apa yang dilihat termasuklah melalui gambar yang dimuat naik kami di laman Instagram selain komitmen yang ditunjukkan di dalam lakonan di kaca TV serta di luar skrin apabila sama-sama mempromosikan drama berkenaan.

"Tiada apa antara kami. Tapi saya selesa bekerjasama dengannya. Dia seorang yang baik," katanya.

Mia turut ditanya mengenai kononnya dia kini sudah berubah sikap dan mula berangan.

"Saya tak pasti dari mana cerita ini datang kerana ia kali pertama didengari saya. Yang pasti kerjaya seni saya baharu sahaja bermula dan tak semudah itu saya akan mempersiakannya," katanya yang memegang watak Yuhanis dalam drama Hati Perempuan arahan Kas Roshan.

Kerjaya lakonan Mia atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi bermula selepas dia berjaya membawa watak Anis dalam drama bersiri Ku Tak Rela untuk slot Azalea. Sebelum itu, dia pernah membawa watak sokongan dalam beberapa drama bersiri seperti Rindu Awak 200% dan Romi Cinta Julia.

Sebelum berlakon, Mia sebenarnya bermula dengan iklan komersial. Anak keempat daripada lima beradik yang juga bekas pramugari Air Asia X ini berhijab sejak pertengahan 2014.

Berita Harian X