Sabtu, 16 Mei 2015 | 5:43pm

Penculik belum tuntut wang tebusan - Wan Junaidi

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto NSTP

KUCHING: Polis belum dapat mengesahkan identiti kumpulan yang menculik seorang lelaki dan seorang wanita di Restoran Ocean King di Sandakan tetapi percaya ia dilakukan oleh "orang dalam", kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, polis percaya kumpulan militan Abu Sayyaf dari Filipina turut terlibat.

"Setakat ini, belum ada panggilan atau tuntutan wang tebusan daripada pihak penculik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penyampaian Anugerah Pingat Kedaultan Negara kepada kakitangan Jabatan Penjara Sarawak dan Sabah di ibu pejabat Jabatan Penjara Sarawak di Jalan Puncak Borneo di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat perisikan mengenai kes itu.

Katanya, bukan mudah bagi pihak berkuasa keselamatan untuk mengawal pantai Sabah sepanjang 1,400 kilometer.

"Namun, markas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bekerja keras untuk meningkatkan keselamatan di sepanjang kawasan pantai," katanya.

Kelmarin, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King dan menculik lelaki dan wanita itu dengan disaksikan kira-kira 100 pelanggan termasuk kanak-kanak.

Thien Nyuk Fun, 50, kakak ipar pengurus restoran itu adalah seorang daripada mangsa culik dalam kejadian 7.45 malam itu.

Seorang lagi mangsa ialah Bernard Ghen Ted Fen, 39, dari Sarawak yang bekerja sebagai perunding elektrikal di Kemboja.

Penculikan itu adalah yang pertama dilaporkan di Sabah tahun ini dan ia berlaku semasa perintah berkurung dikuatkuasakan dari senja ke subuh yang meliputi 10 daerah dalam kawasan ESSCOM termasuk Sandakan.

- BERNAMA

Berita Harian X