Khamis, 14 Ogos 2014 | 11:21pm
Dafi

Dafi tertinggi pengikut Instagram artis AF

KUALA LUMPUR: Jika dalam kalangan artis tanah air secara keseluruhannya, Nora Danish mengungguli sebagai selebriti Malaysia pertama yang meraih 1 juta jumlah pengikut di akaun Instagram baru-baru ini. Tapi tahukah anda, jika dalam kalangan artis kelahiran Akademi Fantasia yang masih aktif, Dafi sebenarnya unggul di tempat pertama.

Saat ini, Dafi mempunyai jumlah pengikut seramai 163,000. Mengikuti rapat Dafi di belakang ialah Marsha dengan 161,000, Adira (160,000), Hafiz Suip (143,000), Nana Mahazan (137,000), Akim (130,000) dan Stacy (103,000). Dafi yang dihubungi baru-baru ini ternyata tidak menyangka dengan pencapaian berkenaan.

Bagi penyanyi lagu Bila Terasa Rindu yang juga pemilik syarikat pengurusan artis, Laugh Out Loud (LOL) ini, tahap popularitinya barangkali tidak segah Hafiz Suip atau Stacy, tetapi beliau antara yang terus mekar memperjuangkan bakat seninya selepas menyertai Akademi Fantasia musim kelima.

"Apabila diberitahu perkara ini, memang saya tak menyangka dengan berita ini. Sejujurnya saya tak beranggapan pun diri ini popular sangat. Tapi barangkali saya mendaftar akaun Instagram ini awal dan hari demi hari berjaya mengumpul pengikut. Saya mula aktif Instagram sejak tiga tahun lalu," katanya.

Seperti mana kebanyakan pemilik akaun Instagram, Dafi juga gemar memuat naik gambar selfie, aktiviti harian termasuk gambar bersama teman, keluarga dan rakan artis. Malah, katanya, kalau bercuti, beliau juga gemar berkongsi gambar panorama serta pemandangan lokasi negara mahupun tempat yang dijejaki.

"Dulu sewaktu awalan mendaftar akaun laman sosial popular ini, saya memang kerap berkongsi gambar. Dulu, saya boleh memuat naik hingga kesembilan keping gambar atau lebih terutamanya kalau ada acara hiburan mahupun tertentu yang disertai.

"Macam sekarang bimbang juga kalau gambar kita saja yang selalu dimuat naik boleh membuatkan ada yang naik muak. Balik-balik muka Dafi yang dilihat. Jadi sekarang, kalau paling kurang pun, saya akan hadkan dua keping gambar saja untuk dimuat naik," katanya.

Dafi juga seperti sesetengah artis mengambil pendekatan untuk menyekat akses pengikut yang keterlaluan termasuklah yang gemar mempromosikan produk atau perkhidmatan menerusi hashtag visit my ig (Instagram).

"Kadang-kadang komen mereka itu tidak kena mengena langsung dengan gambar yang dimuat naik. Walau diberi amaran, masih ada yang gemar mempromosikan halaman Instagram mereka. Begitu juga dengan komen negatif, saya akan padam komen berkenaan dan menyekat akses mereka.

"Bagi saya sebarang perkara negatif ini memang tak dialu-alukan langsung di Instagram saya. Saya juga suka berkomunikasi dengan pengikut. Saya akan cuba membalas komen sebanyak mungkin jika berkelapangan," kata anak kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.

Dafi kini sedang menyiapkan album kedua berbentuk mininya. Dafi kini bergelar duta produk pen S Liner dan Clenx Tea (TM).

Berita Harian X