Ahad, 17 Mei 2015 | 12:04am
LOKASI rumah api Tanjung Tuan. - Grafik BH Online

Menjejak tapak kaki Hang Tuah

TANJUNG TUAN: Kaitan Datuk Laksamana Hang Tuah dengan Melaka tidak dapat dipisahkan. Nama hulubalang tersohor hingga ke seluruh pelusuk nusantara itu menyimpan pelbagai kisah sejarah dan mistik yang masih diperkatakan sehingga hari ini.

Sekali pun ghaibnya Hang Tuah itu sendiri yang tidak bermakam, masih ada banyak 'jejak' yang ditinggalkan pahlawan Melaka itu untuk dikenang generasi zaman ini.

Antara jejak Hang Tuah yang terus terkenal diceritakan dari generasi ke generasi ialah kesan tapak kakinya yang terletak di Tanjung Tuan, Melaka.

Kesan tapak kaki kanan Hang Tuah seperti mana didakwa umum, dapat dilihat dengan jelas di atas sebuah bongkah batu besar di pinggir pantai di Tanjung Tuan.

KESAN tapak kaki Hang Tuah menyamai saiz tapak kaki lelaki dewasa. - Foto Khairunisah Lokman

BH yang berkunjung ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, berkesempatan menjejak kesan tapak kaki seperti didakwa masyarakat setempat sebagai milik Hang Tuah.

Lebih-lebih lagi, kedudukannya yang masih dalam kawasan Hutan Rekreasi Tanjung Tuan membolehkan pengunjung menjelajah beberapa lokasi menarik seperti Rumah Api Tanjung Tuan, Perigi Belanda dan Perigi Keramat.

Pegawai Balai Penerangan Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Nekmat Seis, 43, berkata Tanjung Tuan menyajikan pelbagai lipatan sejarah menarik untuk diteroka.

Katanya, selain kedudukan rumah apinya yang menghadap Selat Melaka dan sebagai lokasi penghijrahan burung pada awal pertengahan Februari hingga akhir Mac, hutan rekreasi itu ada banyak kisah menarik untuk disingkap.

"Istimewanya Tanjung Tuan bukan sahaja kerana rumah api, tetapi ada kesan tapak kaki Hang Tuah di atas bongkah batu besar.

"Tetapi, dulu kesannya lebih ketara dan bentuk tapak kaki sebenar boleh dilihat dengan jelas," katanya ketika ditemui.

Beliau yang membesar di kawasan itu bagaimanapun mengakui kecewa dengan sikap segelintir pihak yang terus ghairah melakukan pelbagai aktiviti khurafat di sekitar kawasan tapak kaki Hang Tuah dan perigi keramat.

PERIGI keramat masih dijadikan lokasi aktiviti khurafat. - Foto Khairunisah Lokman

Walaupun sudah tidak sekerap dulu, kelibat segelintir pengunjung melakukan aktiviti pemujaan masih berlaku kerana kedudukan lokasi perigi dan tapak kaki Hang Tuah yang agak terpencil.

"Pernah dulu, ada pihak yang melakukan aktiviti pemujaan dengan meletakkan kambing sebagai satu bentuk persembahan.

"Walaupun hutan rekreasi ini sudah di bawah pengurusan kerajaan negeri Melaka, kami percaya masih berlaku aktiviti pemujaan yang dilakukan secara tersembunyi," katanya kesal.

PERALATAN pemujaan ditemui berselerak berhampiran lokasi kesan tapak kaki Hang Tuah. - Foto Khairunisah Lokman

Ditanya apakah ada berlaku kejadian mistik di sekitar lokasi tapak kaki Hang Tuah sebagaimana yang dipercayai sebagai kawasan keramat, Nekmat segera menafikan berlaku sebarang kejadian pelik di kawasan itu.

Malah, katanya, sepanjang lebih dua tahun berkhidmat, termasuk membersihkan kawasan sekitar tapak kaki Hang Tuah, dia belum pernah mengalami sebarang kejadian tidak diingini.

"Semua itu bagi saya bergantung kepada niat kita juga. Kalau niat baik untuk melawat kawasan ini, tentu tidak akan mengalami apa-apa yang tidak elok.

"Seingat saya belum pernah lagi mana-mana pengunjung mengalami gangguan atau terlihat benda pelik. Andai berlaku kecemasan sekali pun hanya membabitkan pengunjung yang keletihan selepas penat mendaki sehingga ke puncak rumah api Tanjung Tuan," katanya.

RUMAH api Tanjung Tuan. - Foto Khairunisah Lokman

BH turut berpeluang menjejak kesan tapak kaki Hang Tuah yang terletak di lokasi agak terpencil di lorong dalam hutan rekreasi itu. Menyusuri laluan disediakan, berjalan kaki mengambil masa kira-kira 20 minit untuk tiba di lokasi dijejaki.

Sepanjang perjalanan, pengunjung boleh menemui kesan peninggalan perigi Belanda, sebelum akhirnya tiba hujung pantai Tanjung Tuan. Walaupun tidak terdapat sebarang papan tanda, pengunjung masih boleh menjejaki tapak kaki Hang Tuah berpandukan kepada lokasi perigi keramat yang terletak bersebelahan bongkah batu besar yang menempatkan kesan tapak kaki berkenaan.

Namun, selepas berpeluh menjejaki kesan tapak kaki itu, penulis agak kecewa dengan keadaan persekitarannya yang dilihat tidak terjaga, selain terdapat longgokan sampah dan kesan aktiviti pemujaan di situ.

INFO: Rumah Api Tanjung Tuan

  • Juga dikenali sebagai Cape Rachado mengambil sempena nama 'Battle of Cape Rachado' pada tahun 1606 antara Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) dengan Armada Portugis yang akhirnya menyaksikan Portugis menyerahkan Melaka kepada Belanda pada 1641.
  • Dibina oleh Portugis pada tahun 1528 untuk membantu kapal memasuki pelabuhan Melaka ketika itu. Ia dibina semula oleh British pada tahun 1817 ketika pemerintahan sementara British di bawah arahan Sir William Farquhar.
  • Pada tahun 1990, rumah api ini menempatkan Radar MEASAT yang dibina untuk memantau lalu lintas kapal di Selat Melaka.
  • Terletak di daerah Alor Gajah, Melaka, rumah api ini adalah yang tertua di Malaysia.
  • Di tepi rumah api ada lorong denai menuju ke Tok Keramat Lela dan medan tinjau Pulau Intan. Laluan denai daripada batu dibina oleh Jabatan Perhilitan Melaka. Atas faktor keselamatan, rumah api ini tidak dibuka kepada orang ramai.
  • Tanjung Tuan adalah lokasi terkenal sebagai pusat persinggahan burung penghijrah terutama ketika musim penghijrahan burung daripada hemisfera selatan ke utara.

* Ikuti reaksi Jabatan Agama Islam Melaka berhubung amalan khurafat yang dipercayai masih berlaku di Tanjung Tuan menerusi siri kedua esok.

Berita Harian X