Ahad, 17 Mei 2015 | 12:05am
JULIA Ziegler mengamalkan gaya hidup sihat untuk kekal langsing. - Foto Izhari Ariffin
JULIA Ziegler mengamalkan gaya hidup sihat untuk kekal langsing. - Foto Izhari Ariffin

Formula Julia Ziegler kekal menawan

KUALA LUMPUR: Sepanjang mengenali pelakon bernama Julia Ziegler ini berat badannya sekejap naik dan turun.

Biasalah bukan senang sebenarnya untuk mengekalkan berat badan unggul yang sesuai dengan ketinggian dimiliki.

Julia berkata, berat badannya pernah mencecah sampai 63 kilogram. Ketika itu si pemilik darah campuran ini mengakui cukup malu melihat dirinya sendiri kerana terlalu besar contohnya ketika membintangi filem Ombak Rindu beberapa tahun lalu.

"Memang berat badan saya ini macam yo-yo. Nak tak nak memang saya kena jaga badan. Saya rasa bagi mana-mana perempuan pun antara masalah terbesar ialah nak kekal langsing atau nampak cantik setidak-tidaknya dalam gambar.

"Pepatah kecantikan itu menyakitkan memang betul kerana bukan semudah lafaz A sampai Z.

"Macam berat saya sekarang ini turun mendadak hingga ada bahagian tertentu turut kendur termasuklah payu dara dan buntut. Makan hati pun adalah juga sikit sampai saya kurus.

"Tapi sekarang saya mengamalkan gaya hidup sihat. Saya jaga makan dan melakukan senaman serba sedikit. Usia saya pun bukan makin menurun. Jadi sebaiknya saya kekal sebegini," kata Julia Ziegler yang ditemui BH PLUS pada majlis pernikahan Lana Nodin dan Mohd Daud Mckienzie di Hotel Palace Of Golden Horses, Jumaat lalu.

Julia sendiri mengakui tekanan untuk mengawal berat badan dengan pelbagai godaan mendatang termasuk keenakan pelbagai jenis makanan itu sentiasa ada.

Tetapi mahu atau tidak dengan statusnya bergelar anak seni, pemilik nama sebenar Julia Bob Fauzi Ziegler ini sedar tuntutan untuk sentiasa nampak cantik dan kecil di kaca televisyen mahupun di layar perak itu terus bermain di akal fikiran.

Memiliki ketinggian 172 sentimeter, Julia memberitahu berat badannya kini 58 kilogram dan berhasrat untuk menambah dua kilogram lagi untuk nampak lebih sempurna.

PELAKON, Julia Ziegler. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Julia Ziegler. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Menurut Julia, dia kini mengurangkan pengambilan makanan berasaskan karbohidrat termasuklah nasi dan lebih kepada pemakanan lauk. Selain itu, dia juga melebihkan minuman air suam atau berasaskan buah-buahan.

"Dulu coklat dan kek memang menjadi kegilaan saya. Tapi sekarang kalau teringin pun saya ambil dalam kuantiti yang sedikit. Memang kena kawal diri dan nafsu.

JULIA Ziegler mengakui hadapi tekanan untuk mengawal berat badan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
JULIA Ziegler mengakui hadapi tekanan untuk mengawal berat badan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Selalunya nak naik berat badan itu senang saja kalau nak dibandingkan usaha mengurangkan berat badan. Rangka saya tinggi dan besar, kalau tak jaga silap hari bulan boleh jadi macam 'Abam Sado'.

"Saya sejak tahun ini juga mengamalkan pemakanan minuman detoks jenama Marvellous. Sistem usus saya pun bermasalah dengan hal membabitkan perkumuhan.

"Jadi selepas menggunakan produk itu, ia membantu saya membuang toksin dan apa saja yang tak diperlukan dalam badan. Ramai yang mengesyorkan saya menggunakan produk itu dan akhirnya saya guna juga untuk faedah diri sendiri," katanya.

Julia juga memastikan dirinya ke gimnasium untuk bersenam sekurang-kurangnya seminggu sekali atau apabila berkelapangan.

"Saya pun jenis yang aktif di rumah dan kalau tak ada apa memang lebih suka memerap di rumah daripada keluar melepak. Kalau di rumah memang saya tak boleh duduk diam. Saya boleh jadi macam pembantu rumah mengelap lantai dan melakukan aktiviti mengemas di rumah. Jadi secara tak langsung memang badan akan sentiasa berpeluh.

"Kalau pergi gim pun saya hanya melakukan senaman asas seperti melakukan tekan tubi dan aktiviti kardio yang ringan. Macam saya cakap tadi, kalau silap hari bulan angkat berat badan saya boleh jadi macam peserta angkat berat pula," katanya yang akan genap 31 tahun pada 21 Mei ini.

Mengalih bicara mengenai kerjaya lakonannya yang sudah hampir sembilan tahun, nama Julia sebenarnya turut menjadi perhatian dalam kanvas dunia seni kerana beberapa siri kontroversi. Kalau mahu disenaraikan memang banyak. Cuma kebelakangan ini, namanya bagai sepi dan tiada lagi kontroversi yang bertandang.

"Bagi saya hidup inikan ada kitaran. Sekejap kita boleh ada di bawah. Saya sudah melalui pelbagai benda sepanjang di arena seni. Saya tak kisah kalau ada yang melihat saya sudah tak popular atau apa sahaja. Cuma apa yang boleh saya katakan, saya masih di arena seni dan aktif. Saya sentiasa berharap peminat di luar sana senantiasa ternanti-nantikan produk lakonan saya," katanya yang ketika ini sedang melunaskan baki penggambaran drama Keluarga Pontimau terbitan Filmscape di samping Keith Foo dan Marsha untuk TV3.

Malahan kini Julia menyedari publisiti terhadap dirinya di dada akhbar dan majalah juga tidak serancak dahulu.

"Publisiti memang penting dalam kerjaya seni artis. Saya masih memerlukan publisiti tapi kalau tak ada apa yang nak dipukul canang buat apa juga. Jadi kalau ada produk drama atau filem untuk dipromosikan saya bersedia.

"Walaupun nama saya sudah dikenali, saya tak nafikan masih memerlukan publisiti untuk memberitahu peminat kita masih aktif.

"Macam sekarang pun golongan artis sudah ada platform media sosial seperti Instagram untuk menghebahkan apa sahaja yang berkaitan aktiviti seni dan rutin harian. Jadi saluran ini saya lihat wajar dimanfaatkan artis untuk memastikan atau memaklumkan kepada peminat yang kita masih aktif," katanya.

Melihat kepada diri dan usianya kini, Julia tak menafikan tekanan untuk berkahwin itu sentiasa ada.

"Pendek kata, atas bawah kiri dan kanan saya 'diserang' dengan soalan bila nak kahwin. Teman media, peminat, ahli keluarga dan sanak saudara memang tak putus-putus bertanya. Tapi apa boleh buat, semua itu atas kehendak Tuhan. Saya percaya Tuhan ada perancangan yang baik untuk saya," katanya yang masih solo.

INFO: Julia Ziegler

  • Pernah berlakon teater Asmara Songsang. Teater ini bukan yang pertama buat Julia, kerana sekitar 2006 dia pernah membintangi teater M The Opera ketika namanya masih belum dikenali.
  • Berdarah kacukan Jerman-Amerika sebelah bapa dan Melayu-Jawa (ibu)
  • Namanya pernah terpalit dengan kontroversi dengan Sharifah Sakinah dan Didie Alias
  • Filem lakonannya seperti Kayangan, Cuci The Movie, Cicakman, Jangan Tegur, Krazy krazy krazy, Suaka, Toyol Nakal, Ombak Rindu, Dari Kerana Mata, Tokak dan Man Sewel Datang KL.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X