Ahad, 17 Mei 2015 | 12:25pm

Sultan Nazrin ketuai senarai penerima darjah kebesaran Perlis

ARAU: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengetuai senarai 309 penerima pingat dan darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail ke-72.

Baginda Sultan Perak disenarai menerima Darjah Kerabat Baginda Tuanku Syed Putra Jamalullail (DK).

Bagaimanapun, dalam istiadat berlangsung di Balairong Seri Istana Arau, di sini pagi tadi, penganugerahan pingat dan darjah kebesaran diketuai empat penerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Ketua Pengarah Kolej Komuniti Malaysia, Datuk Amir Md Noor; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud; Panglima Markas Satu Divisyen Tentera Darat Malaysia (TDM), Mejar Jen Datuk Stephen Mundaw dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Bakarudin Ishak.

Selain DPMP, lima lagi menerima Darjah Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang turut membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Adnan Hussein; Pakar Perunding Anestesiologi Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Dr Ismail Ahmad; Pakar Obstetrik dan Ginekologi HTF, Dr Zaridah Shafie; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad dan Bekas Pengarah Bahagian Pentadbiran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kamarulzaman Murad.

Turut menerima kurnia enam penerima Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP), 14 penerima Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP) dan tujuh penerima Ahli Mahkota Perlis (AMP), dengan semua penganugerahan pingat dan darjah kebesaran disempurnakan Raja Perlis.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulllail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Berita Harian X