Isnin, 18 Mei 2015 | 12:17am
PERANTI pengesanan pergerakan tanah yang dibangunkan penyelidik CRSST.
PERANTI pengesanan pergerakan tanah yang dibangunkan penyelidik CRSST.
KAWASAN cerun tanah tinggi menjadi lokasi eksperimen CRSST.
KAWASAN cerun tanah tinggi menjadi lokasi eksperimen CRSST.
PROF Dr Koo Voon Chet.
PROF Dr Koo Voon Chet.

MMU hasilkan peranti pengesan pergerakan tanah

BUKIT BERUANG: Prihatin terhadap kejadian banjir besar di Kelantan selain masalah tanah runtuh yang sering berlaku di negara ini mendorong penyelidik Centre for Remote Sensing and Surveillance Technologies (CRSST), Universiti Multimedia (MMU) Melaka mencipta peranti pengesan pergerakan tanah.

Peranti itu boleh mengesan pergerakan tanah sehingga satu milimeter menggunakan radar yang masih di dalam peringkat eksperimen di kawasan yang sering kali mengalami hakisan seperti Cameron Highlands, Pahang.

Pengerusi CRSST, Prof Dr Koo Voon Chet, berkata penggunaan radar untuk tujuan pengesanan awal bencana seperti tanah runtuh, banjir atau gempa bumi sudah lama digunakan di kebanyakan negara maju seperti Taiwan dan Jepun.

"Setakat ini kami sedang menguji peranti pengesan pergerakan tanah di kawasan cerun Gunung Pass, Cameron Highlands yang dikenal pasti sering mengalami pergerakan tanah menggunakan imej tiga dimensi (3D) yang boleh menghantar maklumat kepada agensi atau pusat data untuk tujuan analisis dan mengesan risiko.

"Apabila kita dapat kesan lebih awal sebarang pergerakan yang tidak normal, pihak berkuasa boleh memberi amaran awal kepada penduduk sekitar sekiranya terdapat risiko tanah runtuh atau banjir untuk memudahkan perpindahan ke tempat selamat," katanya.

Selain itu, Voon Chet berkata, CRSST juga akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan untuk membolehkan peranti pengesanan ini digunakan secara menyeluruh dalam mengesan amaran awal kejadian banjir, tanah runtuh dan gempa bumi.

Dalam perkembangan lain, CRSST juga giat membangunkan teknologi radar untuk mengesan pelbagai lagi aktiviti lain termasuk penebangan hutan, pemetaan tanah dan pertanian.

INFO: CRSST

  • Aktif menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan sistem terkini remote sensing untuk mengawasi persekitaran.
  • Bertanggungjawab menghasilkan sistem scatterometer pertama negara dan radar imej beresolusi tinggi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X