Isnin, 18 Mei 2015 | 5:41pm

Jaga sekolah geng pecah rumah

KUALA LUMPUR: Dua beradik yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah adalah antara tiga suspek yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R Munusamy berkata suspek ditahan susulan penemuan satu bungkusan yang mengandungi sepucuk pistol jenis Revolver .38 dan sebilah pisau rambo di atas siling pos pengawal sekolah berkenaan oleh rakan suspek.

"Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam, rakannya itu kemudiannya menghubungi majikan dan membuat laporan polis. Hasil siasatan polis telah menahan dua beradik berusia 21 dan 23 tahun di sekolah tersebut kira-kira pukul 11 malam ketika sedang bertugas, dan dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan pistol dan pisau berkenaan.

"Tangkapan susulan polis telah menahan seorang lagi lelaki berusia 25 tahun di kediamannya di Selayang kira-kira pukul 2 pagi tadi, dan merampas barangan antaranya lima buah kamera pelbagai jenis, parang, pisau, gari, sarung muka dan sebuah kotak tempat menyimpan pistol tertera Eg723," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Munusamy berkata, suspek ketiga yang ditahan bekerja sebagai penjual telefon dan berdasarkan penemuan barangan itu, ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Lembah Klang.

Tambahnya, kedua-dua beradik yang ditahan itu sudah empat bulan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan tetapi dilaporkan kerap tidak hadir bertugas.

"Salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit samun," kata Munusamy.

Dalam perkembangan lain, polis turut menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan Jumaat lepas kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan pecah rumah, dan merampas pelbagai barangan termasuk 16 buah komputer riba, telefon bimbit pelbagai jenis serta kamera bernilai RM30,000.

Munusamy berkata, suspek ditahan susulan kejadian pecah rumah pada 5 Mei lalu kira-kira jam 9 pagi di sebuah rumah di Sentul Utama setelah perbuatan mereka dirakam melalui kamera litar tertutup di rumah mangsa.

"Susulan itu, kita buat serbuan dan pemeriksaan di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Idaman Selayang dan menahan seorang lelaki berusia 30 tahun serta merampas beberapa buah komputer riba," katanya.

Seorang lagi suspek berusia 47 tahun ditahan dalam tangkapan susulan di Pangsapuri Aman Batu Caves bersama beberapa buah komputer riba, kamera dan tripod serta telefon bimbit pelbagai jenama, dua pucuk pistol tiruan, gari, anak kunci termasuk alat kawalan jauh kereta.

"Di dalam beg milik suspek turut menemui antaranya besi, kunci allen dan sepana," kata Munusamy.

Kedua-dua mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 36 Akta Senjata api 1960.

- BERNAMA

Berita Harian X