Khamis, 11 September 2014 | 11:50am

ECERDC tarik pelabur China ke ECER

XIAMEN: Lebih banyak syarikat China dijangka melabur di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia, Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Taman Halal Pasir Mas.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John, berkata Dasar 'Go Out' China (dimulakan pada 1999) mendorong usahawan China, yang dilengkapkan dengan pengetahuan, teknologi dan modal, melabur ke luar negara.

"Syarikat China yang sudah meneroka ke Malaysia akan mengukuhkan, memanfaat dan meneroka peluang perkongsian dan kerjasama strategik dengan komuniti perniagaan tempatan," katanya selepas menghadiri Persidangan Usahawan Malaysia-China 2014 bersempena Pameran Antarabangsa China bagi Pelaburan dan Perdagangan (CIFIT) Ke-18, di sini.

Penyertaan ECERDC dalam pameran CIFIT selama empat hari bermula semalam, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai ECER dalam kalangan pelabur berpotensi China.

Minat terhadap ECER dalam kalangan pelabur China semakin meningkat kerana mereka sudah biasa dengan MCKIP, katanya sambil menambah, "MCKIP sememangnya penting kerana ia adalah taman perindustrian pertama di Malaysia yang dibangunkan bersama oleh Malaysia dan China, dan akan diberikan status Taman Perindustrian Kebangsaan.

"Bersama taman sekutunya, Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou (CMQIP), MCKIP menandakan satu pencapaian penting dalam hubungan perdagangan dan ekonomi kukuh antara kedua-dua negara."

Mengenai industri halal, Jebasingam berkata syarikat China berminat dengan industri halal Malaysia kerana ia sudah mendapat pengiktirafan dunia.

Mengenai sama ada tragedi kehilangan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang sedang dalam perjalanan ke Beijing menjejaskan usaha ECERDC menarik pelabur China ke ECER, beliau berkata tidak ada seorang pun peniaga China yang membangkitkan perkara itu.

"Malah, kami memperoleh 15 pelabur berpotensi dalam tempoh dua hari pertama CIFIT," katanya.

CIFIT yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan China menumpukan kepada pasaran sedang pesat membangun dan terdiri daripada pameran, forum dan seminar padanan perniagaan.

Turut hadir ialah Wakil Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China Datuk Bong Hon Liong, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Azman Mahmud, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia Datuk Dzulkifli Mahmud, dan Penasihat Teknikal kepada Wakil Khas Datuk Fong Tian Yong. - BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X