Selasa, 19 Mei 2015 | 8:30am

EU guna tentera laut untuk akhiri krisis migran


KETUA diplomatik EU, Federica Mogherini. - Foto AP

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) meluluskan rancangan penempatan pasukan tentera laut memerangi sindiket pemerdagangan manusia yang bertanggungjawab menyebabkan beribu-ribu migran merentasi Mediterranean dari Libya.

Menerusi program itu yang mendapat sokongan menteri luar dan pertahanan EU, kapal perang dan pesawat pemantau kesatuan itu akan mengumpul maklumat mengenai kegiatan pemerdagangan manusia sebelum menggempur bot berkenaan bagi melumpuhkan terus kegiatan haram itu.

Bagaimanapun, EU masih menunggu resolusi PBB bagi membolehkan tentera laut memusnahkan bot milik sindiket pemerdagangan manusia yang menyeludup migran dari perairan Libya, negara yang terjebak dengan kekalutan politik sehingga memudahkan sindiket beroperasi.

"Keputusan baru diambil setakat ini untuk menempatkan operasi pasukan tentera laut EU bagi menjejaskan model perniagaan sindiket pemerdagangan manusia," kata ketua diplomatik EU Federica Mogherini menerusi Twitter selepas mesyuarat menteri-menteri luar dan pertahanan kesatuan itu di sini.

Operasi ketenteraan adalah sebahagian daripada rancangan menyeluruh EU selepas beberapa kejadian bot membawa migran karam di Mediterranean yang mana pada bulan April sahaja, angka korban adalah sebanyak 1,800 orang.

Lebih 5,000 migran sudah terbunuh di laut itu dalam tempoh 18 bulan lalu selepas membuat pelayaran menempah maut menggunakan bot kecil yang sarat dengan penumpang.

Dalam pada itu, kerajaan Libya yang diiktiraf antarabangsa berpangkalan di Tobruk - yang bersaing dengan pentadbiran di Tripoli dan peningkatan ancaman daripada kumpulan Negara Islam (IS), menentang rancangan EU itu.

"Tindakan ketenteraan terhadap pelarian adalah tidak berperikemanusiaan," kata jurucakap kerajaan itu Hatem el-Ouraybi. - AFP

Berita Harian X