Selasa, 19 Mei 2015 | 12:39pm
KUMPULAN otai rock Wings.
KUMPULAN otai rock Wings.

Wings kembali ke Istana Budaya bulan depan

WINGS akan membuat konsert diberi nama Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).
WINGS akan membuat konsert diberi nama Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

KUALA LUMPUR: Wings masih berbisa. Tahun ini sekali lagi, kumpulan otai rock tanah air ini akan ke pentas berprestij Istana Budaya untuk sebuah konsert diberi nama Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Disandingkan penuh harmoni antara rock dan tradisional, empat panglima Wings, Awie, Joe, Black dan Eddie bakal menghunus senjata masing-masing, berpencak dengan lagu dan muzik di gelanggang seni bernama Panggung Sari, Istana Budaya pada 10 hingga 16 Jun depan.

Digarap sebagai sebuah konsert berkonsepkan semi teaterikal yang mengangkat nilai estetika, budaya dan perjuangan anak bangsa mewakili Melayu, Wings kali ini dipersembahkan lebih daripada sebuah kumpulan rock lagenda.

"Biarpun memilih rock sebagai jalan seni sejak hampir 30 tahun yang lalu, Wings tetap menghormati dan menyanjungi adat serta warisan bangsa Melayu. Hasil daripada pengalaman dan kesedaran itu, maka terhasillah Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia," jelas Awie yang mengilhamkan sendiri penganjuran konsert berkenaan.

Konsert Wings yang julung kali diterbitkan Awie Entertainment Sdn Bhd itu bakal menggegarkan Istana Budaya selepas Konsert Wings Rockestra bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pada 2013 dan Opera Hidup Wings & Superfriends (2011).

Awie Entertainment sebelum ini pernah menganjurkan Konsert Teaterikal Suara Kita pada Mac 2014, manakala kedua-dua konsert Wings sebelum ini diterbitkan oleh Anggerik Events Sdn. Bhd.

Zambre Shaari atau Bombay yang ditugaskan sebagai pengarah konsert berkata, Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia tidak hanya membawa lagu-lagu hit yang dipetik dari zaman Belenggu Irama, Hukum Karma, Bazooka Panaka atau Menakluk Kosmos.

Sebaliknya, katanya, konsert yang membawa falsafah kemelayuan itu akan menyajikan pilihan lagu-lagu yang berbeza berbanding konsert sebelum ini.

"Pilihan lagu untuk konsert kali ini agak istimewa kerana Wings akan menyampaikan lagu-lagu yang berpaksikan perjuangan seperti Inspirasi Taming Sari.

"Konsert ini juga menyelitkan lagu nyanyian semula (cover song) yang menepati elemen perjuangan terhadap ibu bapa, seni, budaya bangsa, negara dan agama. Lagu irama Melayu Asli juga akan didendangkan dalam konsert ini," kata Bombay.

Sesuai dengan judulnya, Takkan Melayu Hilang Di Dunia Takkan Melayu Hilang Di Dunia, empat anggota Wings juga akan berubah imej. Empat sekawan itu bakal muncul mengenakan kostum klasik lengkap memakai tengkolok seperti laksamana Melayu zaman dahulu kala sepanjang konsert berlangsung.

Jika pahlawan berkeris dan berlembing di medan pertarungan, Wings pula bersenjatakan muzik dan lagu untuk menawan khalayak sambil melaungkan semangat perjuangan.

Kombinasi muzik rock dan bunyi-bunyian tradisional daripada gamelan, nobat, serunai dan gambus dijangka akan mengasyikkan dan menjadikan Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia nanti sebuah konsert yang tidak pernah disaksikan selama ini. Lakon pentas berupa aksi silat, monolog dan bacaan puisi penuh emosi bertemakan perjuangan dijangka akan menjadi tarikan dan kelainan konsert ini.

Penggunaan videomatik atau peta visual juga akan memberi lebih gambaran kepada tema perjuangan yang ingin dipersembahkan. Selain diiringi pemuzik OTM, konsert ini turut mengundang seorang pemuzik jemputan yang akan diumumkan tidak lagi.

Tiket dijual pada harga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305, dan RM450.

Berita Harian X