Rabu, 20 Mei 2015 | 12:29pm

Tekanan disuruh kahwin sentiasa ada - Julia Ziegler

PELAKON, Julia Ziegler. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Julia Ziegler. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Tanggal 21 Mei ini genap 31 tahun usia Julia Ziegler. Kalau dilihat angka berkenaan memang molek benar untuk pemilik nama sebenar Julia Bob Fauzi Ziegler ini menamatkan zaman bujang.

Malah, Julia juga dilihat sudah bersedia untuk memikul tanggung jawab sebagai isteri, cuma dia tidak mampu melawan kehendak takdir yang jodohnya belum kunjung tiba.

Melihat teman artis dan mereka yang akrab dengannya melangsungkan perkahwinan, hati kecilnya turut terdetik mengimpikan saat bahagia yang sama. Pernah digosip bercinta dengan lelaki itu dan ini termasuk mereka yang bergelar anak seni, Julia bagaimanapun percaya jodohnya ada, cuma belum mendekatinya.

Tekanan nak kahwin itu memang ada. Pendek kata, atas bawah kiri dan kanan Julia 'diserang' dengan soalan bila nak kahwin. Teman media, peminat, ahli keluarga dan sanak saudara memang tak putus-putus bertanya. Tapi apa boleh buat, semua itu atas kehendak Tuhan. Julia percaya Tuhan ada perancangan yang baik untuknya.

Kalau ada jodoh atau berita nak kahwin, Julia memang akan kongsi. Tapi nak buat macam mana, Julia belum pasti lagi soal itu. Usia pun makin meningkat bukannya makin menurun.

"Biasalah, ada pasang niat atau menyasarkan usia tertentu nak kahwin juga. Tetapi selalunya yang dirancang tak menjadi. Cinta tak kesampaian itu biasalah. Sedihnya bukan kepalang," katanya.

Tapi bagi Julia, dia ambil positif semua yang terjadi. Pasti ada hikmah tersembunyi.

Mengenai perkembangan seni, Julia masih aktif berlakon. Dia kini sedang melunaskan penggambaran drama Keluarga Pontimau terbitan Filmscape di samping Keith Foo dan Marsha untuk TV3.

Dalam pada itu, Julia sedar publisiti terhadap dirinya di dada akhbar dan majalah juga tidak serancak waktu dahulu.

"Publisiti memang penting dalam kerjaya seni artis. Saya masih memerlukan publisiti tapi kalau tak ada apa yang nak dipukul canang buat apa juga. Jadi kalau ada produk drama atau filem untuk dipromosikan saya bersedia. Walaupun nama saya sudah dikenali, saya tak nafikan masih memerlukan publisiti untuk memberitahu peminat kita masih aktif.

"Macam sekarang pun golongan artis sudah ada platform media sosial seperti Instagram untuk menghebahkan apa sahaja yang berkaitan aktiviti seni dan rutin harian. Jadi saluran ini saya lihat wajar dimanfaatkan artis untuk memastikan atau memaklumkan kepada peminat yang kita masih aktif," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X