Rabu, 20 Mei 2015 | 9:18pm
PEMAIN tengah Barcelona, Xavi. - Foto AFP

Xavi angkat kaki ke liga Qatar, tinggalkan Barcelona

MADRID: Pemain tengah Barcelona, Xavi akan membuat pengumuman, esok (Khamis) bahawa dia akan meninggalkan kelab yang dia sertai pada usia 11 tahun untuk menandatangani kontrak lumayan tiga tahun bersama kelab Al Sadd dari Qatar, menurut ejennya, hari ini.

Kapten berusia 35 tahun dan pemegang rekod untuk kemunculan terbanyak bersama Barca akan mengikut jejak langkah bekas rakan sepasukan Sepanyol, Raul yang beraksi untuk Al Sadd pada 2012 hingga 2014.

Difahamkan, Xavi juga akan bekerja dengan Akademi Aspire di Qatar dan menjadi duta bagi Piala Dunia 2022 apabila negara teluk itu menjadi tuan rumah buat julung kali.

Ejen pemain itu, Ivan Corretja enggan mengulas mengenai laporan media bahawa Xavi akan menerima 10 juta Euro (kira-kira RM45 juta) semusim.

Dia mewakili Sepanyol 133 kali dan menjadi pemain tonggak membantu skuad La Roja itu menang Piala Dunia 2010 dan juara Euro pada 2008 dan 2012.

Bersama Barca dia memenangi tiga kali Liga Juara-Juara, lapan trofi La Liga serta beberapa lagi gelaran. Namun, kemunculannya dalam kesebelasan pasukan sudah berkurangan sejak Luis Enrique dilantik pengurus baharu. - Reuters

.

Berita Harian X