Khamis, 21 Mei 2015 | 12:03am
MIA Sara pada Anugerah Meletop Era 2015 di Stadium Putra, Bukit Jalil. - Foto Munira Abdul Ghani
MIA Sara pada Anugerah Meletop Era 2015 di Stadium Putra, Bukit Jalil. - Foto Munira Abdul Ghani

"Siapa cuba laga Mia, Balqis?'


KUALA LUMPUR: Saat ini, Puteri Balqis, Mia Sara dan Ryqarl Iskandar, antara pelakon cilik yang dilihat cukup dominan.

Tahun lalu sahaja, Balqis menang dua kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin (ASK) 2014 di TV3 dan Asian Television Award 2014, yang berlangsung di Singapura.

Kehadiran Balqis, yang baru berusia lapan tahun seolah-olah menenggelamkan Mia Sara, yang sebelum ini sering menjadi pilihan produksi membintangi karya terbitan mereka. Situasi itu menimbulkan pelbagai cerita negatif, yang melaga-lagakan Mia Sara,10 dan Balqis. Mia Sara dikatakan tidak menegur atau bercakap dengan Balqis ketika mereka terbabit dengan projek lakonan bersama.

Namun, Mia Sara mengeluarkan kenyataan yang beliau mengagumi Balqis. Persoalannya, benarkah mereka tidak sebulu dan kenyataan Mia Sara itu sekadar `satu lakonan;?

"Bagi Mia, kehadiran Balqis menambah warna lagi dunia seni. Ia saingan positif. Mia masih jadi perhatian produksi. Mesti jemu juga kalau asyik-asyik muka Mia sahaja kat wayang dan kaca TV. Jadi, ada pilihan bila dia ada di arena seni.

"Kami pernah berlakon sekali dalam telefilem Balqis arahan Erma Fatima. Kalau ada yang kata kami bermusuh, itu ia satu kesimpulan yang pantas dibuat. Sebenarnya tak pun. Saya sangat okay dengan dia. Saya rasa kami terlalu kecil sangat untuk dilaga-lagakan. Jauh lagi perjalanan saya dan banyak benda lagi yang saya perlu fikirkan daripada memikirkan perkara sebegini," jelas Mia Sara yang berhasrat memperlahankan lakonan apabila memasuki alam universiti kelak.

MIA Sara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MIA Sara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bapa Mia Sara, Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh sebelum ini juga pernah menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan sikap segelintir pihak yang menyebarkan gosip dan memburuk-burukkan anaknya itu.

"Sudah nama pun gosip, semestinya ia tidak benar. Namun, saya rasa pelik, kelakar pun ada...dengan budak kecil yang tidak faham apa-apa pun nak dijadikan bahan gosip. Tak mengapa, orang bercakap, kita yang dapat pahala. Saya akan tuntut di akhirat nanti," katanya.

Dalam diam, Mia Sara yang mula berlakon sejak berusia empat tahun bakal bergelar penyanyi.

"Mia akan keluar dengan single berjudul Kicik Kicik. Mia menyanyi di samping kumpulan Tiga Swagger. Nak tahu apa maksud judul lagu itu, kenalah dengar lagu itu nanti... baharulah boleh faham.

"Video muzik lagu ini sedang dibuat dan lagu itu sudah dirakamkan Mac lalu. Ini semua terjadi sebab Cat Farish. Ada bahagian rap juga yang Mia nyanyikan untuk lagu itu," katanya yang ditemui pada sidang media drama Strawberi & Karipap musim kedua arahan Nizam Zakaria.

(DARI kiri), Zizan Nin, Rykarl Iskandar, Jelita Kako, Mia Sara dan Nellydia Senrose, antara pelakon yang menerajui drama komedi bersiri musim kedua Strawberi & Karipap di Astro Ceria. - Foto Rohanis Shukri
(DARI kiri), Zizan Nin, Rykarl Iskandar, Jelita Kako, Mia Sara dan Nellydia Senrose, antara pelakon yang menerajui drama komedi bersiri musim kedua Strawberi & Karipap di Astro Ceria. - Foto Rohanis Shukri

"Drama berkenaan menjadi lakonan terakhir saya saat ini. Saya memegang watak sebagai Nini. Nini sangat cerewet dan tak suka perangai Haikal lakonan Rykarl Iskandar. Ini juga kali pertama saya bekerja di bawah arahan Nizam Zakaria," katanya.

Drama bersiri 13 episod ini sudah bersiaran sejak 3 Mei lalu setiap Ahad jam 11 pagi secara eksklusif menerusi saluran 611 (Astro Ceria) dan siaran serentak di Maya HD (135). Kali ini, Astro Ceria turut bekerjasama dengan Nestle Nestum selaku penaja.

Drama komedi bersiri terbitan Global Station Sdn Bhd ini masih mengekalkan teraju utama musim pertama, yang menampilkan Zizan Nin sebagai Paksu Hairi, Nelydia Senrose sebagai Aunty Lisa, Mia Sara sebagai Nini dan Rykarl Iskandar sebagai Haikal.

Menceriakan lagi musim baharu ini adalah kehadiran dua watak baharu iaitu Uqasha Senrose sebagai Aunty Emma dan Jelita Kako selaku Jelita.

MIA Sara pada pratonton drama bersiri Super Game Boy. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
MIA Sara pada pratonton drama bersiri Super Game Boy. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Info Mia Sara
* Mula berlakon pada usia empat tahun.
* Drama Ada Maya di TV3 menjadi drama sulung lakonannya.
* Nama penuh, Mia Sara Nasuha Muhammad Ridhuan.
* Pernah membintangi filem terbitan Metrowealth seperti Sekali Lagi dan Papa I Love You.

Berita Harian X