Khamis, 21 Mei 2015 | 1:28am
SEKATAN jalan raya membabitkan pemeriksaan terhadap rekod saman kenderaan dan pemandunya, menjadi antara pendekatan utama polis menjejaki pesalah trafik menerusi Ops Warta, yang sedang berjalan di seluruh negara. - Foto Amran Hamid
SEKATAN jalan raya membabitkan pemeriksaan terhadap rekod saman kenderaan dan pemandunya, menjadi antara pendekatan utama polis menjejaki pesalah trafik menerusi Ops Warta, yang sedang berjalan di seluruh negara. - Foto Amran Hamid

Maut lari dari sekatan polis

KUALA LUMPUR: Cubaan seorang penunggang motosikal lari daripada sekatan jalan raya Ops Warta berakhir tragedi apabila maut dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Loke Yew, di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Fakhrul Abd Hamid, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dari arah pusat bandar raya menghala Cheras cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya menaiki pembahagi jalan untuk ke laluan seberang.

Sebaik sahaja ke laluan seberang, sebuah kereta Proton Iswara dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun merempuh motosikal mangsa mengakibatkannya maut serta-merta.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

"Siasatan awal mendapati mangsa cuba lari daripada sekatan jalan raya kerana cukai jalan motosikalnya tamat tempoh sejak tahun 2013," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1984.

Berita Harian X