Khamis, 21 Mei 2015 | 2:09pm

Universiti Malaysia bangunkan al-Quran untuk golongan pekak

KUALA LUMPUR: Centre of Quranic Research (CQR) Universiti Malaya (UM) sedang menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan al-Quran untuk golongan cacat pendengaran, pertama seumpamanya di dunia.

Pengarahnya, Prof Datuk Dr MY Zulkifli Mohd Yusoff, berkata penyelidikan itu akan memberi tumpuan ke arah menggunakan kod tangan atau bahasa isyarat sebagai medium untuk memudahkan golongan cacat pendengaran membaca dan menghayati al-Quran.

"Masalah yang dialami golongan cacat pendengaran ini tidak mendapat perhatian serius pelbagai pihak yang menyebabkan mereka terpinggir daripada menghayati al-Quran sejak sekian lama.

"Teknik atau kaedah bahasa isyarat sedia ada hanya dipraktikkan oleh individu tertentu dan tiada penyelarasan sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa.

"Penyelidikan ini dijangka mengambil masa kira-kira lima tahun dan dijalankan bersama ahli akademik dan penyelidik daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pakar daripada pelbagai bidang untuk menyelaraskan kod tangan yang boleh digunakan di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Penyelidikan Al-Quran Kod Tangan Peringkat Kebangsaan 2015, di Wisma R&D UM, di sini, hari ini.

15 dibaca
Berita Harian X