Khamis, 21 Mei 2015 | 3:21pm

MERCY Malaysia salur bantuan kepada pelarian

PERSATUAN Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) hari ini mula menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk pelarian Rohingya dan Bangladesh di pusat tahanan Imigresen Belantik, di Kedah.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus, berkata pertubuhan itu telah memulakan operasi bantuan di dalam pusat tahanan dengan kerjasama penuh pihak berkuasa berkaitan dan akan menjalankan kerja bantuan secara berterusan.

"Kami telah melakukan penilaian di dalam kem dan memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu bantuan perubatan dan kesihatan serta keperluan asas bukan makanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MERCY Malaysia merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana memberi kebenaran untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian.

Dilaporkan sebanyak 1,158 pelarian rakyat Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar termasuk kanak-kanak dan wanita mendarat di Langkawi, Kedah pada 10 Mei lalu selepas hanyut di laut, iaitu jumlah teramai pernah mendarat dalam satu-satu masa.

MERCY Malaysia turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya dan Bangladesh melalui akaun Bank CIMB 80-0249839-3, c/o Malaysian Medical Relief Society atau sumbangan tunai ke ibu pejabat MERCY Malaysia.

- BERNAMA

Berita Harian X