Jumaat, 22 Mei 2015 | 12:12am
Erra Fazira. - Foto Nashairi Mohd Nawi

Erra tak rampas suami orang


SELEPAS hidup sendirian lebih setahun lalu, pelakon jelita, Erra Fazira tidak putus-putus dihujani pertanyaan soal hati dan kemungkinan dirinya bercinta lagi.

Hakikatnya, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chik, 41, enggan membuka mulut untuk berbicara mengenai lelaki bertuah yang dapat membuka hatinya kembali pada cinta.

Biar diusik berulang kali, mulutnya masih dikunci rapat, tetapi Erra sedia memberi sedikit gambaran selepas diasak berulang kali dengan menyatakan si dia masih bujang dan bukan orang kenamaan atau VIP seperti dihebohkan.

Tegasnya dalam nada yang tetap mesra, kurang manis bagi seorang wanita dan ibu tunggal sepertinya mencanangkan perihal perasaan sedangkan ia belum menuju ke fasa seterusnya.


Erra Fazira. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Cukuplah saya katakan beliau masih solo. Beliau juga bukan ahli politik. Sepanjang meniti kehidupan, saya belum pernah berkasih dengan suami orang dan harap ia dijauhkan.

"Setakat ini kami masih berkawan. Mungkin kedengaran agak klise, cuma yang boleh saya katakan dia kawan lelaki yang paling rapat buat masa ini. Bukan mahu merahsiakan, cuma tidak elok kalau digembar-gemburkan identitinya sedangkan belum ada apa-apa yang boleh dikongsi.

"Rasanya pun tidak manis kalau saya yang berlebih-lebih. Pengalaman lalu serta anak juga membuatkan saya lebih berhati-hati termasuk ketika berkongsi cerita supaya tidak timbul salah faham," katanya sambil tersenyum manis meminta pengertian.

Terdahulu, Erra mengahwini Engku Emran Engku Zainal Abdin pada 25 Oktober 2007 dan berpisah sekitar Februari 2014. Mereka dikurniakan anak perempuan yang kini berusia enam tahun, Engku Aleesya.

Sebelum itu, ratu cantik, pelakon dan penyanyi ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pengarah, Yusry Abdul Halim, pada Jun 2003 namun hanya bertahan tiga tahun tanpa dikurniakan cahaya mata.

Menyentuh mengenai kesediaannya membuat pengakuan akrab dengan seorang lelaki bujang, katanya pendedahan dilakukan sedikit sebanyak dapat menghentikan spekulasi dirinya menjalin hubungan dengan individu tertentu.

Malah keterbukaannya dalam soal berteman biarpun sekadar memberi tanda sedang berkawan dengan seseorang dapat menghentikan cubaan orang tertentu yang mahu merapatinya.

"Saya bukan jual mahal. Lebih baik saya berterus terang daripada membuka ruang untuk diri menjadi bahan spekulasi. Tidaklah ramai lelaki yang mahu mendekati saya, cuma pengakuan itu dapat membuatkan orang faham.


Erra Fazira. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Syukur, penjelasan mengenai dengan siapa saya kini rapat sebenarnya dapat menghentikan segala desas-desus yang tidak benar," katanya yang masih menjadikan sukan permotoran sebagai hobi nombor satu selain badminton.

Sementara itu, Erra memberitahu, fasa dilalui kini lebih menjurus kepada cinta matang yang tidak memerlukan mereka kerap berjumpa untuk melepas rindu.

Cukup sekadar berkongsi khabar atau bercerita aktiviti harian menerusi telefon mahu pun Skype, apatah lagi masing-masing saling memahami dan mempunyai pendirian sama dalam berkasih sayang.

Pada masa sama beliau enggan mengundang spekulasi semetelah statusnya sebagai sebagai ibu tunggal kepada seorang puteri yang membuatkan setiap pelakuan perlu dijaga demi anak serta keluarga.

"Perhubungan kami bukan cinta yang perlu bertemu setiap hari. Mujur dia juga sama pendirian dengan saya. Jadi, kami mudah bertolak ansur dalam banyak hal," katanya ringkas ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Julia Betty dan Asha Karim, di ibu kota, Selasa lalu.

Ditanya mengenai kelibatnya yang semakin jarang kelihatan di kaca TV dan layar perak, Erra memaklumkan, komitmen utamanya kini adalah terhadap permata hatinya hingga beliau terpaksa menolak tawaran drama atau filem.


ERRA (tengah) bersama Betty Banafe (kanan) ketika merasmikan koleksi Julia Betty dan Asha Karim, di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Tumpuan pelakon yang meraih jolokan Primadona Filem Melayu Moden itu lebih terarah kepada cabang seni yang tidak memakan banyak masa, iaitu pengacaraan, demi buah hatinya.

"Saya hanya boleh keluar bekerja empat hari seminggu. Selain bersama anak, jadual kerjaya saya adalah di studio untuk rancangan Primadona serta beberapa komitmen yang sudah dipersetujui awal.

"Dulu boleh dikatakan saya seorang yang gila bekerja dan semuanya berubah sejak dikurniakan Aleesya kerana perasaan seorang ibu cukup berbeza apabila anak menjadi keutamaan dalam segala hal.

"Jadi, kebiasaannya saya bekerja dengan kawan-kawan yang memahami masa saya seperti Erma Fatima hingga saya dapat menjayakan pementasan Takhta Tiga Ratu, tempoh hari," katanya yang bakal muncul dalam sebuah telefilem untuk Syawal.

Berita Harian X