Jumaat, 22 Mei 2015 | 8:43am

IS dakwa tawan sepenuhnya Palmyra, Syria

BANDAR purba Palmyra di Syria. - Foto REUTERS

BEIRUT: Kumpulan Negara Islam (IS) mengukuhkan penguasaan mereka terhadap bandar purba Palmyra di Syria dan melumpuhkan sepenuhnya kekuatan tentera kerajaan Iraq di Ramadi yang ditawan lima hari lalu.

Kejayaan berganda IS itu meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Syria dan Iraq serta membangkitkan keraguan terhadap strategi AS yang bergantung sepenuhnya kepada serangan udara untuk melumpuhkan IS.

AS dan pasukan sekutu sudah membuat 18 serangan udara terhadap sasaran IS di Syria dan Iraq sejak kelmarin.

Mengikut sebuah kumpulan pemantau kemanusiaan dari Britain, IS kini sudah menguasai lebih separuh Syria selepas pertempuran lebih empat tahun. Konflik di negara itu tercetus akibat penentangan terhadap Presiden Bashar al-Assad.

IS juga sudah menguasai sempadan terakhir antara Syria dan Iraq yang ditadbir Damascus. Sempadan itu berada dalam wilayah Homs, Syria yang mana terletaknya Palmyra.

Pejuang IS juga mengukuhkan penguasaan terhadap bandar Sirte, Libya, tempat asal bekas Presiden Muammar Gaddafi.

Dalam pada itu, Washington berkata kejatuhan Palmyra kepada IS adalah tamparan kepada pasukan bersekutu.

JURUCAKAP Rumah Putih, Josh Earnest. - Foto AP

Bagaimanapun, jurucakap Rumah Putih, Josh Earnest berkata Presiden Barack Obama tidak setuju dengan gesaan Republikan supaya AS menghantar tentera darat untuk menentang IS.

Pentadbiran Obama sudah beberapa kali menyatakan keyakinan terhadap keupayaan Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi, tetapi ramai pegawai AS yang ragu dengan keupayaan Haider untuk menyatukan Iraq.

IS dalam kenyataan menerusi Twitter berkata kumpulan itu kini menguasai sepenuhnya Palmyra termasuk pangkalan tenteranya, sekali gus menandakan buat kali pertama ia berjaya menawan sebuah bandar secara terus daripada tentera Syria dan bersekutu.

Serangan IS terhadap Palmyra bukan saja menjejaskan lebih 200,000 penduduknya, malah dibimbangi lebih banyak monumen purba era-Roman di kawasan itu dimusnahkan termasuk kuil-kuil dan arena yang dipulihara selama ini. - Reuters

Berita Harian X