Jumaat, 22 Mei 2015 | 5:20pm

Penduduk Indonesia resah dengan pengedaran beras plastik

PENGEDARAN beras tiruan yang dipercayai diperbuat dengan campuran plastik dan bahan-bahan kimia kini menjadi kebimbangan rakyat Indonesia. - Foto hiasan/Reuters

JAKARTA: Pengedaran beras tiruan yang dipercayai diperbuat dengan campuran plastik dan bahan-bahan kimia kini menjadi kebimbangan rakyat Indonesia kerana ada yang mendakwa mereka sudah termakan beras itu.

Media-media di sini melaporkan pihak berkuasa sudah menerima aduan daripada pengguna yang mendakwa mereka sudah membeli beras itu di beberapa buah kedai.

Pasukan Polis Republik Indonesia (Polri) dilaporkan bertindak untuk mencegah keresahan masyarakat dengan menjalankan operasi untuk menyiasat pengedaran beras itu.

Ketua Biro Penerangan Masyarakat Mabes Polri, Brig-Jen Agus Rianto dipetik sebagai berkata, sampel beras sintetik itu telah dihantar ke Badan Pengawas Ubat dan Makanan dan pihaknya masih menunggu hasil analisis sampel berkenaan.

Dilaporkan beras sintetik kali pertama ditemui oleh seorang penjual bubur yang dikenali sebagai Dewi di Bekasi dekat sini dua hari lalu.

Dewi yang mendapati kelainan rasa dalam masakannya kerana dipercayai bercampur dengan beras sintetik itu kemudiannya membuat laporan kepada Jabatan Perindustrian dan Perdagangan Kota Bekasi.

Beras plastik itu dipercayai mengandungi bahan kimia polyvinyl chloride, benzyl butyl phthalate (BBT), Bis 2-ethylhexyl phthalate (DEHP) dan diisononyl phthalate (DNIP) yang jika dimakan boleh mengakibatkan gangguan pencernaan dan mendapat kanser.

Beras plastik mula heboh diperkatakan sejak minggu lalu apabila beras yang dipercayai diimport dari sebuah negara itu dipercayai telah diedarkan secara berleluasa di Indonesia. - BERNAMA

Berita Harian X