Jumaat, 22 Mei 2015 | 5:32pm

Didik generasi muda hargai barangan terbuang

AZAM menunjukkan produk yang dihasilkan daripada bahan buangan untuk dijual dalam internet. - Foto Nik Hariff Hassan

BIJI-BIJI Design Sdn Bhd yang ditubuhkan pada November 2012 adalah sebuah perusahaan sosial yang ditubuhkan oleh empat sahabat yang mempunyai niat murni ingin memulihara alam sekitar.

Ia adalah gabungan idea pengasas bersama syarikat berkenaan, Azam Hisham, 28; Rashvin Singh, 28;

Gurpreet Singh, 28; dan Zoe Victoria, 27; yang ingin mewujudkan entiti berupaya mempengaruhi masyarakat mengamalkan gaya hidup lestari.

Mereka ingin melihat rakyat negara ini mempunyai budaya baharu yang lebih mesra kepada alam sekitar, mempunyai amalan membuang yang bertanggungjawab dan mengamalkan kitar semula.

Bagaimanapun, mereka sedar ia memerlukan pembabitan masyarakat dan tidak sepatutnya hanya dilakukan oleh mereka sahaja jika ingin memperoleh hasil terbaik.

Oleh itu, syarikat ini menggunapakai konsep Sumber Terbuka (Out Source) supaya idea dan aktiviti mereka dapat dikongsi bersama sekali gus memberi faedah kepada banyak pihak.

Biji-Biji sebenarnya diwujudkan atas kesedaran bahawa ramai rakyat negara ini masih belum mencapai tahap kesedaran yang mencukupi untuk menjaga alam sekitar.

Pupuk kesedaran kitar semula bahan terbuang

Azam berkata, prinsip syarikat berkenaan adalah untuk melakukan impak sosial positif seperti mengurangkan barang buangan, berkongsi dan bekerjasama dengan masyarakat sambil menjana pendapatan sendiri.

Katanya, nama Biji-Biji dipilih kerana ia melambangkan biji benih atau idea, sekali gus pihaknya cuba menyediakan tempat untuk orang ramai merealisasikan idea mereka.

"Kami ingin berkongsi idea dan menjaganya sehingga mampu berkembang dan memberi impak seperti mencari jalan penyelesaian dalam mengurangkan sampah dan menggunakan semula bahan buangan," katanya.

Azam berkata, Biji-Biji yang beroperasi di sebuah banglo berkeluasan 836 meter persegi di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, ketika ini berfungsi sebagai pusat pembangunan prototaip, pengeluaran dan kemudahan stor.

Beliau berkata, di bengkel berkenaan, orang ramai boleh menggunakan pelbagai peralatan untuk menjalankan kerja seni reka dan menghasilkan produk daripada barang buangan secara percuma.

SUKARELAWAN Biji-Biji melaksanakan kerja pembuatan daripada barangan terbuang. - Foto Nik Hariff Hassan

"Bengkel ini terbuka kepada orang ramai untuk menghasilkan prototaip.

"Dengan perkongsian tenaga dan idea menggunakan konsep Sumber Terbuka, prototaip berkenaan akan terus berkembang di sini. Pada masa sama, peti idea kami juga akan terus berkembang," katanya.

Biji-Biji adalah satu daripada 25 mentor yang dipilih oleh Rakan Muda untuk membantu meningkat dan menggalakkan golongan belia dalam Festival Belia Putrajaya 2015 yang bertemakan Persembahan Bakat, bermula esok hingga Ahad ini.

Biji-biji boleh ditemui di Zon Barat (Komuniti), Presint 4, Putrajaya, iaitu zon yang menyerlahkan pelbagai program kemasyarakatan, kemanusiaan dan keprihatinan belia Malaysia dalam memberi khidmat bakti sekali gus memantapkan pembentukan semangat patriotisme serta kecintaan terhadap agama, bangsa dan negara.

Menurut Azam, idea dan projek pertama yang dihasilkan syarikatnya ialah menghasilkan 2,000 beg daripada pemidang iklan polivinil klorida (PVC) yang hendak dibuang oleh peniaga di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beg yang dihasilkan dengan bantuan pekerja orang kurang upaya (OKU) daripada GOLD Foundation di Sunway, Selangor kemudian dijual kepada pelanggan untuk menjana keuntungan itu dapat mengurangkan pembuangan pemidang iklan seluas kira-kira 10 gelanggang tenis.

Selain beg PVC, Biji-Biji juga menghasilkan beg daripada tali pinggang keledar yang didapati gagal mematuhi spesifikasi industri automotif.

Katanya, bahan tali pinggang yang kuat dan tahan lasak membolehkan ia diproses sebagai beg, alas kerusi dan pelbagai produk lain.

"Dari semasa ke semasa, kami akan melakukan pelbagai uji kaji untuk mengetahui apa lagi yang boleh dihasilkan daripada bahan seperti pemidang iklan PVC atau tali pinggang keledar berkenaan.

"Selain itu, kami juga menghasilkan lampu daripada botol kaca yang cantik untuk dijual kepada orang ramai," katanya.

Syarikat yang bermula kira-kira tiga tahun lalu dengan hanya empat tenaga kerja kini terus berkembang sehingga mampu memiliki 12 tenaga kerja sepenuh masa selain kira-kira lapan sukarelawan.

Usaha berbaloi, dapat pengiktirafan

Usaha Biji-Biji mendapat pengiktirafan pelbagai pihak sehingga berjaya menerima beberapa anugerah seperti British Council Entrepreneur for Good Award 2013, Alliance Bank SME Biz Smart Award 2014 dan Frost & Sullivan Malaysia Technology Award in Municipal Solid Waste Management Industry 2015.

Dengan mengamalkan Sumber Terbuka, Azam berkata, pihaknya juga mendapat bantuan khidmat daripada sukarelawan dari luar negara yang mempunyai kemahiran yang dinamik dan berbeza.

Beliau berkata, pihaknya menawarkan kemudahan tempat tinggal dan makan minum kepada sukarelawan berkenaan dan sebagai imbalan, mereka memberikan khidmat dan berkongsi ilmu pengetahuan.

Hasil kreatif berjaya tarik minat pelancong

"Ada sesetengah pelancong berminat untuk mengetahui cara kerja dan budaya rakyat tempatan tetapi berdepan dengan kekangan kewangan.

"Bagaimanapun, kebanyakan sukarelawan yang berurusan dengan Biji-Biji adalah mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam penjagaan alam sekitar dan mengurangkan bahan buangan," katanya.

Mengenai Festival Belia Putrajaya 2015, Azam berkata, Biji-Biji yang menyertai bagi tahun kedua sudah memilih 18 peserta yang berusia antara 15 hingga 35 tahun untuk melaksanakan pelbagai projek yang dapat memulihara alam sekitar.

Beliau berkata, semua peserta berkenaan yang komited untuk menyertai festival berkenaan dipilih daripada 600 peserta bengkel Biji Benih yang mengadakan jelajah di Kuala Besut, Terengganu; Georgetown, Pulau Pinang dan Segambut, Kuala Lumpur.

"Pada bengkel sehari itu, kami menganjurkan ceramah keusahawanan, penjagaan alam sekitar dan menggalakkan peserta mencipta produk daripada imaginasi mereka," katanya.

Berita Harian X