Sabtu, 23 Mei 2015 | 12:01am
MENU Pisang Cheese di restoran Kafe Skrin. - Foto Adi Safri
MENU Ribs BBQ di restoran Kafe Skrin. - Foto Adi Safri
PELANGGAN yang hadir menikmati hidangan bufet yang disediakan oleh restoran Kafe Skrin. - Foto Adi Safri

Lepak, makan sambil tengok wayang


PEMILIK Kafe Skrin, Zahrin Ishak menunjukkan dekorasi yang terdapat di restorannya. - Foto Adi Safri

BAYANGKAN sambil menikmati hidangan kegemaran di restoran bersama keluarga atau orang tersayang, berpeluang pula menonton filem di pawagam mini yang menayangkannya dalam format cakera 'blue ray'!

Inilah konsep yang diperkenalkan Kafe Skrin menerusi rangkaian Restoran Micro Cinema yang terletak bersebelahannya.

Pengunjung yang mahu perkhidmatan seperti ini tidak perlu berkunjung ke pawagam komersil yang mengenakan harga tiket mahal, jauh pula dari kediaman, selain berdepan masalah mendapatkan tempat letak kereta.

Di Restoran Micro Cinema, kita boleh sambil menikmati hidangan makan tengahari mahupun malam secara bufet atau ala-carte, dalam masa sama bersantai dalam pawagam mini.


KEMUDAHAN panggung wayang mini di restoran Kafe Skrin. - Foto Adi Safri

Kalau datang secara berkumpulan melebihi 10 orang, boleh memilih judul filem dari perpustakaan 'in-house' di restoran ini.

Pemiliknya, Zahrin Ishak, 47, berkata beliau sedang berusaha mendapatkan bekalan filem Inggeris terbaharu daripada pengedar filem antarabangsa mahupun filem tempatan yang baharu selesai ditayangkan di pawagam dan boleh ditempah atau dilanggani menerusi Astro First supaya segera berada dalam simpanan di perpustakaannya.

Paling penting tambahnya, filem berkenaan ditonton secara percuma apabila memesan pakej makanan di situ.

"Saya juga lupakan filem Melayu klasik terutama lakonan Tan Sri P Ramlee. Saya menyediakan satu sudut khas yang menayangkan filem Melayu klasik menerusi skrin TV berukuran 70 inci. Selain dilengkapi sofa, saya menempatkan barangan antik seperti basikal dan mesin taip lama untuk mengembalikan nostalgia di kawasan berkenaan," katanya.


DEKORASI dalaman di restoran Kafe Skrin. - Foto Adi Safri

Agak menarik juga apabila setiap menu di restoran ini menggunakan judul filem lama seperti Nasi Goreng Semerah Padi, Nasi Goreng Panggilan Pulau, Mi Goreng Ali Baba Bujang Lapok dan Kuey Teow Nujum Pak Belalang.

"Kalau tidak mahu makan di sini, pengunjung boleh membawa makanan masuk ke Restoran Micro Cinema atau melepak di ruangan terbuka, Al Fresco untuk lebih santai," katanya.

Zahrin mengakui tidak pernah belajar mahupun mengikuti kursus masakan, kecuali berpengalaman dalam bidang perundangan lebih 23 tahun.

Bagaimanapun, ibunya pernah berniaga makanan di kantin pejabat kerajaan sekitar tahun 60-an hingga 70-an. Sejak kecil beliau sering menolong ibunya di dapur yang terkenal dengan masakan nasi beriani, manakala ayahnya mengajar teknik penyediaan masakan Barat.

Idea dan konsep asal Kafe Skrin yang mula beroperasi pada 31 Disember 2013 diambil daripada kafe terkenal di Amerika Syarikat iaitu Planet Hollywood yang menerapkan unsur pawagam sebagai dekorasi hiasan dalaman, selain menampilkan konsep American Dinner Restaurant seperti Johnny Rockets, American Chili dan Tony Roma's dalam penyediaan menu, susun atur dan warna perabotnya seperti merah, hitam dan putih.


DEKORASI kaunter di restoran Kafe Skrin. - Foto Adi Safri

Manakala menu makanan lebih cenderung kepada konsep fusion iaitu Barat dan Asia. Kafe Skrin sentiasa memperbaharui menu dari Barat dan resipi asli tempatan bertemakan atau inspirasi daripada filem popular.

Justeru menu seperti Water World Fish Burger, New York Oven Roast Beef Brisket dan The KL Legenda Ice Kacang & Ice Cream pasti menggamit minat dan membuka selesa pengunjung untuk mencubanya.


ANTARA menu yang terdapat di restoran Kafe Skrin. - Foto Adi Safri

"Jika The Apocalypse Extreme iaitu burger setinggi empat tingkat menjadi salah satu daya tarikan di Kafe Skrin, tak lama lagi kami akan memperkenalkan Transformer Burger setinggi enam tingkat pula! Burger seberat 1.2 kilogram itu turut mempunyai enam lapisan keju. Harganya pula sekitar RM69.90. Jangan terkejut dengan harganya kerana burger berkenaan boleh dinikmati untuk lima hingga enam orang.


MENU Burger Bakar di restoran Kafe Skrin. - Foto Adi Safri

"Semua menu yang saya hasilkan adalah daripada inspirasi penjelajahan ke beberapa negara terutama New York dan London. Tukang masak kami pula adalah bekas tukang masak hotel untuk menyempurnakan lagi idea yang saya bawa dari luar negara itu," katanya.

Info Kafe Skrin

* Lokasi: No 9G, Ukay Boulevard, Jalan MRR2, Ampang Ulu Kelang, Selangor

(terletak berhadapan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Zoo Negara)

* Telefon: 03 4101 9437

* Facebook (FB): https://www.facebook.com/pages/Kafe-Skrin/667767056579818

* Waktu operasi: 9 pagi hingga 11 malam

Berita Harian X