Ahad, 24 Mei 2015 | 12:08am

Jenayah kejam tabiat diwarisi atau sakit jiwa


KES mayat bayi ditemui dikerat 15 dalam perangkap sampah loji kumbahan najis Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, Johor Bahru, Johor, Rabu lalu, menarik perhatian umum. Tuduhan zalim, kejam, ganas dan tidak berperikemanusiaan meniti di bibir orang ramai. Orang ramai tertanya-tanya manusia jenis apakah yang sanggup melakukan perbuatan sebegitu.

Ikuti penjelasan pakar kriminologi dan psikologi, Pensyarah Program Sains Forensik, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, Dr Geshina Ayu Mat Saat dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Akademik (HEPA), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang juga Ahli Kluster Pembangunan Sosial, Majlis Profesor Negara (MPN) dan Profesor Psikologi Kaunseling, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din.

DR Geshina Ayu. - Foto Zaman Huri Isa

BH: Apakah tafsiran secara umum mengikut istilah kriminologi mengenai perbuatan membunuh dan memotong bayi ini?

Dr Geshina: Secara amnya, terma itu merujuk kepada Infanticide. Berdasarkan rumusan kajian sebelum ini, apabila merujuk kepada perbuatan membunuh dengan mengerat badan mangsa, langkah pertama membabitkan proses mengenal pasti sama ada keratan itu dilakukan kepada mangsa yang masih hidup ataupun sudah mati.

Jika mangsa masih hidup, itu bermakna pelaku adalah individu yang suka menyeksa orang lain atau sadistik. Jika mangsa sudah mati, tindakan mengerat badan mangsa adalah perbuatan jenayah kedua, sama ada untuk memusnahkan bukti atau hasil daripada keadaan emosi pelaku iaitu marah, panik, atau takut.

Pakar menilai bagaimana cara suspek memotong badan mangsa. Ini adalah antara satu kaedah menggunakan modus operandi mengerat menggunakan peralatan tajam seperti pisau atau parang. Ia berkaitan cara jenayah dilakukan, seperti melemaskan, menembak, atau mendera. Contohnya membunuh dengan cara melemaskan, sama ada dengan cara mencampakkan mangsa ke dalam air seperti tasik bersama pemberat atau menekan badan mangsa ke dalam tab mandi. Jika menggunakan senjata api, sama ada ia tembakan sekali atau bertubi-tubi.

MUKA depan BH pada 19 Mei lalu.

Bagi kes memotong bayi, kaedahnya berkait rapat dengan akar umbi diagnosis kelakuan berkenaan, iaitu sama ada secara klinikal atau bukan klinikal. Bagi secara klinikal, kelakuan mengerat dikaitkan dengan perwatakan psikopath, sosiopath atau meroyan atau amuk.

Bagi ketiga-tiga perwatakan, perlu ditentukan sama ada pelaku itu waras atau tidak; sedar kelakuan jenayah dilakukan. Ini kerana kelakuan mengerat itu tidak semestinya satu kelakuan tidak siuman. Malah, banyak kajian menunjukkan ia adalah secara waras dan disengajakan. Perbezaan antara psikopath dan sociopath ialah kaedah mangsa dikerat, iaitu secara metodologikal (bagi psikopath) atau secara buas (bagi sosiopath). Individu psikopath atau sosiopath tidak seharusnya seorang yang ganas.

BH: Bagaimana mengenal pasti perwatakan individu seperti ini?

Dr Geshina: Perwatakan psikopath mempunyai kecenderungan mewarisinya secara genetik keluarga. Mungkin berkait dengan perbezaan di dalam fisiologi otak. Individu ini kurang menunjukkan julat emosi yang normal dan jika ditunjuk, lazimnya hanya sebagai kaedah mengaburi orang lain malah dikatakan sebagai orang yang tidak mempunyai emosi.

Mereka mempunyai hubungan sosial yang cetek, tidak berempati dan memanipulatif yang memberi manfaat maksimum kepada diri sendiri. Mereka jarang mempunyai perasaan rasa bersalah atas perbuatannya, walaupun telah menyakiti orang lain.

PAKAR kriminologi dan psikologi, Pensyarah Program Sains Forensik, USM, Kubang Kerian, Dr Geshina Ayu Mat Saat. - Foto Zaman Huri Isa

Dari segi integrasi sosial, mereka ini kerap menunjukkan ciri menarik, baik dan boleh dipercayai bahkan mempunyai kerja stabil dan normal. Mempunyai keluarga yang menampakkan dinamik keluarga yang bernas dan mempunyai hubungan kekeluargaan yang baik. Bahkan, mungkin mempunyai pendidikan tinggi.

Perwatakan sosiopath pula cenderung dibentuk oleh persekitaran dan hubungan yang projenayah. Tingkah laku projenayah ini diperkuat dengan pengukuhan, kelestarian dan sokongan kenalan serta persekitaran projenayah. Kemungkinan pernah menjadi mangsa jenayah keganasan seperti dera atau jenayah seksual.

Mereka bersikap impulsif, mudah marah dan sukar membina atau mengekal hubungan emosi dengan orang lain atau dengan orang yang mempunyai kecenderungan yang sama serta mementingkan kepuasan sendiri sendiri. Mereka menonjolkan ciri proantisosial lebih daripada ciri kebaikan, jarang mempunyai kerja stabil dan sering bertukar kerja.

Mungkin mereka sekadar mempunyai pendidikan asas dan daripada aspek integrasi sosial, mereka mempunyai dinamik keluarga yang kurang bernas, hubungan tidak rapat atau kurang baik.

BH: Adakah kedua-duanya mempunyai tingkah laku jenayah yang sama?

Dr Geshina: Individu psikopath cenderung melakukan tingkah laku jenayah yang memberi risiko minimum kepada diri dan akan membuat pelan mengurangkan kebarangkalian ditangkap dan pelan luar jangka untuk semua keadaan. Ini lebih bahaya daripada sosiopath kerana tidak mengalami rasa bersalah atas tingkah laku jenayah.

KERATAN BH pada 19 Mei lalu.

Mereka berupaya mengasingkan diri daripada aktiviti yang dilakukan, termasuk aktiviti yang menyakiti atau mendera orang lain. Berbeza dengan individu sosiopath, mereka terbabit dalam jenayah secara impulsif dan spontan, tanpa berfikir panjang, terutamanya risiko dan hasil akibat tingkah lakunya. Disebabkan mereka mementingkan perasaan sendiri, impulsif dan mudah marah, individu ini sering terbabit dalam pergaduhan atau aktiviti berunsur ganas seperti merusuh. Ini meninggikan kebarangkalian ditangkap.

BH: Bagaimana pula dengan kajian bukan klinikal mengenai cara suspek memotong badan mangsa?

Dr Geshina: Kategori ini terbahagi kepada dua, iaitu emosi dan kognitif (pemikiran). Kategori bukan klinikal lazimnya merujuk kepada kelakuan seseorang yang siuman dan rasional tetapi membenarkan emosi, pemikiran menguasai atau membentuk tingkah laku jenayah.

Emosi pula terbahagi kepada dua iaitu emosi marah atau emosi bersalah. Emosi marah ini berkait rapat dengan penentuan kelakuan seks yang menyebabkan kehamilan secara rela atau paksa. Jika hamil disebabkan kelakuan seks yang paksa (rogol atau sumbang mahram), kesalahan itu dilakukan oleh ahli keluarga sendiri, kawan rapat atau kenalan; si ibu akan bertindak melepaskan kemarahan itu kepada bayi. Pelaku akan melakukannya dengan emosi marah kerana merasa bukan kesalahannya sehingga dia mengandung dan melahirkan bayi.

Bagi kes dengan kerelaan, rasa marah boleh berkumpul di dalam hati apabila pasangan memutuskan hubungan. Emosi marah yang melampau boleh menyebabkan kepada perbuatan mengerat bayi. Jika kehamilan disebabkan kelakuan seks yang rela (belum berkahwin atau bawah umur), si ibu akan merasa bersalah (dalam konteks ini, ia termasuk tidak mahu distigma, rasa malu dan tidak mahu perbuatan melakukan seks terdedah) lalu bayi itu menjadi mangsa dengan memotong cara elok kerana dia masih waras dan boleh berfikir.

BH: Mungkin juga ada faktor pendorong yang lain dalam mengenal pasti profil penjenayah?

Dr Geshina: Kita perlu melihat kepada faktor lain untuk membina profil penjenayah yang mampu membunuh dengan cara mengerat, termasuk menggunakan pisau, parang atau objek tajam yang berupaya mengerat.

Senjata itu memang bersamanya atau mungkin tidak. Jika senjata itu dibawa bersama, ini membuktikan dia ada perancangan untuk membunuh sama ada dilakukan secara bersendirian atau bersama orang lain.

Persoalannya adakah janin itu sudah mati dalam kandungan atau selamat dilahirkan hidup? Adakah janin dikerat semasa mati atau hidup? Selagi tidak ada maklumat ini, pembentukan profil mungkin tidak tepat.

KERATAN BH pada 19 Mei lalu.

BH: Berdasarkan kes ini, adakah perbuatan ini boleh dikatakan dilakukan secara sedar dan terancang atau pun tindakan spontan akibat terlalu terdesak?

Dr Geshina: Jika dilihat cara bayi itu dipotong, ia menunjukkan perbuatan itu dilakukan secara sedar. Bayi itu potong dalam tiga ke empat sentimeter. Itu bermakna ia dilakukan secara terancang dan bukan secara cincang seperti kepingan tidak sama rata atau dikenali sebagai frenzy (buas). Potongan itu menunjukkan pelakunya sedar dan boleh berfikir. Jadi ia dilakukan secara sedar dan sengaja, bukan spontan. Jika spontan, mana dia dapat pisau, mengapa tidak tanam saja bayi itu, atau dibiarkan di tempat awam seperti pelaku lain.

BH: Adakah kesalahan ini dilakukan oleh seorang atau lebih dari seorang individu?

Dr Geshina: Biasanya dalam kes melahirkan anak luar nikah, pasangan lelaki (90 peratus) tidak akan mengaku bertanggungjawab. Dalam kes buang bayi, biasanya ia dilakukan oleh ibu bayi itu, tidak kira sama ada ibu muda atau wanita biasa. Sama ada ia kes kerelaan, lelaki akan menyalahkan gadis itu mengapa tidak mengambil langkah pencegahan bagi mengelak mengandung. Jadi dalam kes ini, kebarangkalian tinggi pelakunya adalah wanita. Ada juga pernah berlaku terdapat keluarga yang membantu tetapi tidak sampai ke tahap membunuh atau mengerat bayi.

BH: Mungkin pelaku itu menyangka bukti akan dilupuskan secara mudah dengan dibuang ke loji kumbahan?

Dr Geshina: Mungkin ya dan ia dilihat sama ada kesalahan dilakukan itu boleh dikesan atau tidak. Tapi orang ramai perlu ingat yang setiap negeri ada pasukan siasatan tempat kejadian jenayah (CSI) yang bukan saja polis tapi juga daripada akademik seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kita melakukan banyak kajian dan membantu banyak kes kerana USM mengadakan MoU dengan polis. Sebagai contoh, melalui kesan tapak kaki dan teraan telinga, kita boleh mengesan penjenayah dan banyak cara lagi.

PROF Dr Mohamed Fadzil. - Foto Malai Rosmah Tuah

BH: Apakah punca utama menyebabkan kes menyayat hati itu boleh terjadi? Siapa yang harus dipersalahkan?

Prof Mohamed Fadzil: Melihat kepada laporan akhbar dan PDRM, kes sebegini boleh dilakukan sesiapa sahaja yang memilih bertindak agresif dan ganas. Ia boleh dilakukan warga tempatan dan warga asing yang bekerja di Malaysia. Analisis psikososial lebih melihat kepada elemen kegagalan pelaku mengurus masalah diri di samping nilai kendiri dan agama yang runtuh serta corak perlakuan agresif-ganas yang dibentuk secara sedar dan tidak sedar.

Lazimnya pelaku ganas sebegini tiada kemahiran mengurus keresahan dan masalah hidup dengan baik. Pelaku juga menjadi ganas kerana kesan himpitan kehidupan dan contoh kelakuan agresif dipelajari melalui media, filem dan masyarakat. Kemungkinan dalam keadaan terdesak sama ada untuk menguruskan kelahiran bayi luar nikah, kematian bayi, pembuangan bayi dan menghilangkan bukti kewujudan bayi tidak diundang, maka pelaku terhimpit dalam konflik diri dan undang-undang yang serius.

Tiada siapa yang layak dipersalahkan dalam kes ini kecuali dua insan yang terbabit dalam hubungan seksual sehingga melahirkan bayi berkenaan dan kemudian bertindak kejam kepada bayi itu.

BH: Adakah pelakunya boleh dirawat atau dipulihkan?

Prof Mohamed Fadzi;: Dalam kebanyakan kes rawatan kaunseling dan psikoterapi yang teraputik, pelaku sebegini boleh dirawat dan dipulihkan. Dalam pendekatan psikologi kaunseling, setiap individu dilihat mempunyai potensi berubah dan kembali menjadi individu produktif kepada diri, keluarga dan komuniti.

Peranan pembantu seperti seorang kaunselor yang terlatih boleh menggunakan kaedah menolong, pendekatan kaunseling dan teknik teraputik mampu merawat sistem pemikiran, kepercayaan, perasaan dan gaya hidup yang agresif dan ganas pelaku kepada cara berfikir, rasa dan bertindak yang normal, rasional serta produktif.

Kaunselor wajib mempunyai kemahiran membantu yang tinggi, stamina rawatan yang konsisten dan suasana rawatan terbaik untuk membantu pelaku kembali menjadi normal dan berfungsi secara baik lagi berkesan dalam masyarakat.

TIMBALAN Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Akademik UPNM, yang juga Ahli Kluster Pembangunan Sosial MPN dan Profesor Psikologi Kaunseling, Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din. - Foto Malai Rosmah Tuah

BH: Adakah kes ini berlaku disebabkan masyarakat kita sudah terbiasa dengannya sehingga tidak peduli lagi apa berlaku di sekeliling mereka?

Prof Mohamed Fadzil: Ada kemungkinan kes begini berlaku dan berleluasa kesan dari sikap tidak peduli kita sendiri yang hidup dalam komuniti yang sama. Melihat kepada peningkatan kes kanak-kanak didera, bayi dibuang, keganasan rumah tangga, kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan penjagaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia dan PDRM, jelas memberi petunjuk masyarakat kita menjadi semakin kurang peka dan tidak peduli kepada isu-isu di sekeliling mereka. Jika ini tidak ditangani, ia akan menjadi beban dan ancaman besar kepada kehidupan masyarakat.

KERATAN BH pada 20 Mei lalu.

BH: Ada pihak mendakwa, kes seperti ini berlaku disebabkan masalah gejala sosial yang bukan saja dilakukan orang tempatan, tetapi warga asing yang bekerja atau menjadi pendatang?

Prof Mohamed Fadzil: Kes membuang, mencederakan, mendera, membunuh dan mencincang kanak-kanak seperti ini tidak hanya berlaku atau dilakukan kumpulan tertentu. Tidak dinafikan, nilai masyarakat Malaysia semakin berkonflik dan mengalami krisis antara kehidupan diri sendiri, keluarga, kerjaya, komuniti dengan tuntutan ekonomi serta himpitan kehidupan. Sudah pasti semua kelompok individu tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan, tempat tinggal dan warganegara akan terdedah melakukannya.

BH: Pada pandangan Prof, bolehkah masalah ini diatasi. Apakah yang perlu dilakukan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat bagi menanganinya?

Prof Mohamed Fadzil: Isu ini masih boleh dibendung dan diatasi. Peranan institusi keluarga adalah tonggak penting. Keluarga boleh memberi kesedaran, pendidikan dan kefahaman dalam memberi perlindungan, penjagaan, pemeliharaan serta keselamatan bayi dan anak-anak kecil di rumah atau kawasan sekitar.

Kerajaan dan agensinya juga wajib memberi bantuan terbaik kepada sistem penjagaan, keselamatan, perlindungan dan pemeliharaan bayi serta kanak-kanak melalui aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan yang cekap. NGO berkaitan bayi dan kanak-kanak juga sebaiknya menjalankan program berterusan dan sentiasa ikhlas membantu. NGO jangan hanya aktif secara bermusim atau mengejar kepentingan tertentu seperti mengambil peluang publisiti bersama menteri dan sebagainya.

DAPATKAN PENJELASAN PENUH DALAM AKHBAR BH, HARI INI.

Berita Harian X