Ahad, 24 Mei 2015 | 10:39pm

Adik Nelydia dan Uqasha menang Dewi Remaja


TIGA pemenang utama Dewi Remaja 2014/2015.

BANDAR UTAMA: Adik kepada pelakon Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose, Raysha Rizrose dinobatkan sebagai Dewi Remaja edisi 2014/2015, pada episod kemuncak yang disiarkan secara tertunda jam 10 malam tadi secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan siaran serentak di Maya HD (135).

Raysa berusia 18 tahun dari Petaling Jaya menewaskan empat lagi finalis iaitu Syamim Farid, 23; Balqish Maarif, 25; Deeba Halil, 24 dan Mawar Rashid, 19.

Mahkota kemenangan disampaikan oleh juara Dewi Remaja 2009/2010 iaitu Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa. Dengan kemenangan itu, Raysha Rizrose membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Selain itu, beliau juga turut memenangi kategori Dewi Berseri (Fair And Lovely).


JUARA Dewi Remaja 2014/2015, Raysha Rizrose.

Tempat kedua dimenangi oleh Syamim, yang juga memenangi kategori Dewi Menawan (Sunsilk), manakala Balqish di tempat ketiga. Mawar memenangi kategori Dewi Kegemaran, yang ditentukan 100 peratus daripada undian peminat melalui laman web rasmi.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Fify Azmi, 25, dinobatkan sebagai Dewi Persahabatan. Pemilihan kategori ini dilakukan menerusi undian oleh 18 peserta musim ini.

Untuk cabaran pusingan akhir, semua finalis diuji dengan sesi soal jawab bersama panel juri yang terdiri daripada Erra Fazira dan Edry Abdul Halim selaku juri tetap; Scha Al-Yahya; Pengarah Kreatif Kumpulan Karangkraf, Farah Hussamuddin dan jurugambar bebas, Ridduan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ridduan TTFGA selaku juri jemputan.

Mengulas kemenangannya, Raysha mengakui terkejut dengan keputusan itu.

"Saya masih seakan tidak percaya apabila dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2014/2015. Dunia seperti berhenti seketika apabila nama saya diumumkan sebagai sebagai juara dan ia menjadi antara pengalaman paling manis dalam hidup saya. Diberi peluang untuk bersaing dengan semua finalis pada peringkat akhir adalah satu penghormatan yang cukup besar buat saya. Mereka semua pesaing yang sangat berbakat dan cantik-cantik belaka.

"Banyak yang saya pelajari sepanjang pertandingan ini terutamanya mengenai kepentingan untuk menjaga disiplin diri, menepati masa, memperbaiki ketrampilan diri, cara berhadapan dengan orang ramai dalam pelbagai situasi serta banyak lagi. Pengalaman yang cukup berharga ini secara tidak langsung memberikan impak kepada personaliti saya secara peribadi.

"Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Astro Ria dan Majalah Remaja atas kepercayaan yang diberikan untuk terbabit dalam program Dewi Remaja 2014/2015. Saya amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada program ini. Tidak dilupakan kepada juri, pihak penaja, keluarga, peminat, pihak produksi serta semua yang tidak putus-putus memberi sokongan dan semangat selama ini," katanya.


SEKITAR episod akhir pencarian Dewi Remaja 2014/2015.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, berkata pihaknya amat berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua yang terbabit dalam program itu.

Beliau turut berterima kasih kepada penaja program iaitu Fair and Lovely, sebagai penaja utama dan Sunsilk selaku penaja bersama.

Dihoskan oleh bekas juara Hero Remaja 2008 iaitu Kamal Adli dan pengacara hlive! iaitu She Nabilla, Pencarian Dewi Remaja 2014/2015 bermula pada bulan Ogos lalu, membabitkan 18 peserta.

Selama tujuh minggu, mereka diuji dengan beberapa cabaran seperti pengacaraan, lakonan, imej, solekan, peragaan dan fotografi. Peserta dinilai bukan saja dari paras rupa, malah menerusi setiap cabaran yang diberi. Setiap markah akan dikumpulkan dan peserta yang mempunyai markah yang terendah akan disingkirkan pada setiap minggu.

Lapan gadis telah dinobatkan sebagai Dewi Remaja sebelum ini, yang mana kehadiran mereka menceriakan lagi dunia hiburan, pengacaraan dan peragaan. Bermula dengan Tengku Anis Tengku Ismail (1985/86), Aleeza Kassim (1987/88), Jasmeen Dhillon (1990/91), Wan Khatijah (1993/94), Juliana Banos (1997/98), Annahita Bakavoli (2002/03), Scha Al-Yahya (2005/06) dan Neelofa (2009/2010).


ELLA membuat persembahan pada episod akhir pencarian Dewi Remaja 2014/2015.

Berita Harian X