KUALA TERENGGANU: Bermain dan bermanja dengan kuda setiap hari membuatkan dua remaja tidak kekok mengendalikan haiwan itu sebelum menyertai sukan memanah berkuda.
Bagi Saikh Ahmad Safwan Saikh Md Nor, 27, dan Noor Neriena Erinie Hashim, 20, mereka tidak pernah mencuba sukan itu tetapi memiliki minat mendalam untuk menguasai kemahiran menunggang kuda dan memanah.
Selepas kira-kira lima bulan belajar memanah, kini kedua-dua mereka mahir dalam sukan memanah berkuda. Malah, mereka kini giat menjalani latihan untuk buat pertama kali menyertai Kejohanan Memanah Berkuda di Korea Selatan, Oktober depan.
Noor Neriena Erinie berkata, beliau mendampingi kuda sejak kecil kerana bapanya, Hashim Jusoh, 54, memiliki 26 ekor kuda di rumah dan turut mengajar orang menunggang kuda.
"Saya tidak pernah terfikir untuk menyertai sukan ini. Mulanya hanya suka-suka kerana Pak Din (jurulatih sukan memanah berkuda, Zaharudin Rastam Yeop Mahidin) tinggal di rumah kami sepanjang berada di Kuala Terengganu. Lama kelamaan, minat itu timbul dan Pak Din serta keluarga memberi sokongan penuh.
"Selepas lima bulan belajar memanah, saya kini mampu menguasai kemahiran ini. Oleh kerana saya mampu mengendalikan kuda dengan baik, sukan ini tidaklah begitu sukar walaupun mulanya agak susah untuk saya menumpukan perhatian bagi memastikan busur panah terpacak tepat di sasaran," katanya.
Beliau pernah patah tangan akibat terjatuh daripada kuda ketika berusia tujuh tahun, itu tidak mematahkan minatnya terhadap sukan berkuda.
Anak kedua daripada empat beradik ini yakin mampu memberikan persembahan terbaik pada kejohanan yang akan disertainya itu.
"Saya sudah cukup bersedia untuk kejohanan itu. Kini saya cuma banyakkan latihan bagi memastikan kejituan panahan yang menjadi antara faktor penting untuk pemarkahan dalam sukan ini," katanya.
Bagi Saikh Ahmad Safwan pula, pekerjaannya sebagai pelatih kuda di Lembah Bidong banyak memberi kelebihan buat dirinya menyertai sukan memanah berkuda.
"Saya sudah biasa dengan kuda, tetapi memanah memang sukan baru bagi saya. Namun, Pak Din banyak memberi galakan dan sokongan, sekali gus membuka hati saya untuk serius dalam sukan memanah berkuda.
"Alhamdulillah, dengan ilmu yang dipelajari daripada Pak Din, saya rasa cukup bersedia menyertai kejohanan Oktober depan. Apa yang penting dalam sukan ini ialah fokus dan hubungan kita dengan kuda.
"Kalau kita mampu mengendalikan kuda dengan baik, insya-Allah mudah untuk kita memastikan anak panah terpacak tepat di tengah-tengah," katanya yang tidak menyangka akan serius dalam sukan itu.
INFO
Perbezaan antara memanah tradisional dan moden
- Busur ringkas moden
- Busur tradisional
- Iaitu busur tunggal dan busur berangkai sebenarnya berada di bawah separa-naluri disebabkan busur berkenaan mempunyai penyangga untuk meletak anak panah.
- Sejenis busur refleks dan lebih menepati ciri-ciri busur sunnah. Reka bentuk busur tradisional adalah panahan-dinamik, iaitu ketika memanah, kepala anak panah diletakkan sedikit terkeluar dari garisan satah panahan kerana perlu disandar ke atas belakang ibu jari pemanah yang menggenggam pemegang busur.
Apabila dilepaskan, anak panah akan meliuk semula mengikut arah sebenar daya tujahan busur selepas batang panah melepasi kawasan pemegang. Lantunan anak panah adalah maksimum pada busur tradisional, pemilihan batang anak panah yang keras akan menyebabkan panah gagal membuat pembetulan untuk bergerak dengan lurus sebelum sampai kepada sasaran.
Fenomena ini dikenali sebagai 'The Archer's Paradox' yang menyebabkan pemanah perlu membuat penyesuaian ketika panahan dengan membidik ke tepi sasaran sebenar.
- Busur tradisional dapat dikenal pasti dengan mudah kerana ia tidak mempunyai tempat sandaran anak panah pada busur. Berbanding jenis busur yang lain, kepala anak panah diletakkan di sisi dalam busur tradisional ketika memanah supaya anak panah dapat dicagak dan ditarik dengan paling cepat.
- Kelebihan busur tradisional ialah kelajuan panahan adalah lebih baik dan berada sedikit di bawah prestasi busur kompaun. Jarak efektif dan ketepatan busur bergantung kepada kemahiran pemanah. Pemanah secara naluri biasanya bergaya dengan busana tradisional ketika acara memanah.