Selasa, 26 Mei 2015 | 10:59am

42 pengamal media dibawa ke kubur pendatang di Wang Kelian

KEADAAN kem pemerdagangan manusia berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. Penemuan itu hasil 'Op Wawasan Khas JKDNKA 2015' oleh 300 anggota polis Komando VAT 69 dan Pasukan Gerak Am (PGA) dari 11 Mei lalu. - Foto BERNAMA

PADANG BESAR: Sekumpulan 42 pengamal media tempatan dan antarabangsa dibawa melawat satu daripada 28 kem yang ditemui di puncak Bukit Wang Kelian, dekat sini, pagi ini.

Kem berkenaan yang terletak kira-kira 1.5 kilometer (km) dari Wang Kelian, dipercayai menempatkan sekurang-kurangnya 37 kubur disyaki mengandungi mayat pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pegawai Operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Deputi Superintendan Salleh Mohd Hussain, berkata perjalanan mendaki dijangka memakan masa minimum dua jam dan kem yang bakal dilawati adalah yang paling hampir.

Terdahulu, sepasukan anggota forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibawa menaiki trak ke lokasi pendakian untuk naik ke lokasi perkuburan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan penemuan 139 kubur di 28 kem yang ditemui di kawasan membabitkan kira-kira 11 kilometer sekitar sempadan Malaysia-Thailand di kawasan bukit Wang Kelian.

Penemuan adalah susulan operasi penggeledahan dilakukan komando VAT69 susulan Op Wawasan Khas dijalankan.

Berita Harian X