Rabu, 27 Mei 2015 | 12:07am

SIRI MISTERI: Bujang Senang sumpahan pahlawan Iban

BENARKAH Bujang Senang berasal daripada seorang manusia.

SEGELINTIR penduduk Iban di Sarawak percaya bahawa legenda buaya raksasa 'Bujang Senang' yang mengganas di Sungai Batang Lupar, Sarawak sekitar 1980-an berasal daripada seorang manusia yang disumpah menjadi haiwan ganas berkenaan.

Mengikut mitos lama masyarakat terbabit, asal buaya jelmaan itu ialah pahlawan Iban bernama Simalungun.

Kehebatan Simalungun terserlah pada zaman mengayau (memotong kepala) dan ramai musuh menjadi korban di tangannya. Kehebatan Simalungun dikaitkan dengan ilmu kebal dimilikinya menyebabkan badannya tidak lut ditetak senjata.

Berikutan kehebatannya, musuh pahlawan terbabit menculik isterinya untuk membalas dendam dan memaksa wanita itu membocor rahsia kekebalan suaminya.

Lelaki gagah itu kemudian bersemuka dengan musuh untuk menyelamatkan isterinya. Bagaimanapun, isteri Simalungun mati ditombak sebaik dibebaskan sehingga menyebabkan pahlawan itu mengamuk. Ketika itulah rahsia kesaktian Simalungun dihidu musuh apabila mendapati pahlawan itu tidak kebal apabila berada dalam air sungai.

Walaupun bertarung bermati-matian, pahlawan Iban itu maut dibunuh musuhnya dan mayat beliau bersama isterinya dibiarkan tenggelam dalam air Sungai Batang Lupar.

Mengikut mitos itu lagi, mayat Simalungun dan isterinya kemudian disumpah menjadi buaya besar oleh `dewa' dan haiwan jelmaan itu mula mengganas menghantui keturunan pembunuhnya sekitar Batang Lupar.

Buaya jelmaan berkenaan akhirnya dikenali sebagai `Bujang Senang' dan menjadi igauan ngeri penduduk sekitar Sungai Batang Lupar apabila dipercayai membaham lebih 14 penduduk Iban sejak 1940-an.

Masyarakat Iban menganggap Bujang Senang bukanlah buaya biasa tetapi `Maharaja Buaya' iaitu raja segala buaya yang hidup sepanjang Sungai Batang Lupar sehingga seluruh Sungai Rejang.

Bujang Senang digeruni kerana saiznya amat besar, malah sekitar zaman awal keganasannya, masyarakat dimomokkan bahawa buaya itu sebesar bas dan mampu memakan ramai mangsa dengan sekali hadap.

Lebih aneh ialah Bujang Senang memiliki tanda belang putih di belakangnya yang tidak terdapat pada buaya lain. Walaupun buaya raksasa itu didakwa sudah mengganas sejak 1940-an, kisah legenda Bujang Senang mula mendapat perhatian apabila ia membaham Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali di Sri Aman pada 1982.

Mengikut cerita, Penghulu Bangan bersama abangnya Kebir menangguk udang apabila Bujang Senang menyerang dan membaham tokoh pemimpin itu sebelum mengheretnya ke dalam sungai.

Kebir cuba menyelamatkan adiknya tetapi gagal dan ketika itulah beliau menyedari wujud belang putih di belakang buaya besar yang menyerang mereka.

Serangan itu menggemparkan penduduk dan operasi mencari mayat Penghulu Bangan dilakukan selama lima hari tetapi hanya badan mayat lelaki itu ditemui. Polis Sarawak melancarkan `Operasi Buaya Ganas' di sungai besar di negeri itu seperti Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Layar dan Saribas tetapi Bujang Senang gagal ditemui.

Bujang Senang terus mengganas dan antara 1982 hingga 1991, dipercayai 13 orang menjadi mangsa buaya raksasa itu. Kemuncak keganasan Bujang Senang berlaku pada Mei 1992 apabila haiwan itu menyambar mangsa ke-14 iaitu Dayang anak Bayang, 20, ketika gadis Iban itu menyeberangi Sungai Pelaban bersama ibunya.

Berang dengan kejadian berkenaan menyebabkan puluhan penduduk Iban dan polis memburu buaya itu. Selepas kira-kira empat jam menjejaki Bujang Senang, buaya ganas itu berjaya dikepung di suatu kawasan sungai tetapi cubaan membunuhnya menggunakan lembing dan peluru biasa gagal. Seorang dukun Iban kemudian mencadangkan paku digunakan sebagai peluru dan atas nasihat itu, maka kira-kira 40 das tembakan menggunakan paku sepanjang 10 sentimeter dilepaskan ke arah Bujang Senang.

Akhirnya, riwayat Maharaja Buaya berkenaan berakhir pada hari itu tetapi legenda Bujang Senang sebagai buaya raksasa di Malaysia terus subur dikenang sehingga kini. Jika meneliti misteri dan cerita legenda membabitkan Bujang Senang, pastinya timbul kesangsian di kalangan masyarakat berhubung kesahihan dakwaan asal buaya berkenaan sebagai manusia yang disumpah.

Golongan skeptikal pasti menyangkal dakwaan itu dengan hujah mereka tidak pernah melihat peristiwa mistik seperti itu berlaku. Bagaimanapun, ada pihak meyakini asal legenda berkenaan sebagai benar dan berlaku membabitkan unsur `kuasa ghaib'.

Akan tetapi, berbeza dengan makhluk mistik naga atau haiwan misteri Bigfoot, hakikat kewujudan buaya raksasa itu sememangnya tidak dapat dinafikan. Hal ini terbukti apabila Bujang Senang berjaya dibunuh dan jasadnya dipertontonkan kepada umum manakala gambarnya disiarkan akhbar.

Bagaimanapun, dakwaan buaya raksasa itu sebesar bas didapati tidak benar kerana saiz sebenar Bujang Senang adalah 5.46 meter panjang dan lilitan perut 2.12 meter. Walaupun tidak sebesar bas, saiz Bujang Senang itu tetap diiktiraf sebagai 'buaya raksasa'.

Dalam ulasan kepada sebuah akhbar, Jabatan Muzium Sarawak mengakui sungai di negeri itu memang memiliki banyak sarang buaya dan kewujudan buaya besar dianggap sebagai lumrah alam yang biasa di kawasan berkenaan.

Kesimpulannya, Bujang Senang hanyalah seekor buaya biasa bersaiz besar dan reputasinya dikenang lantaran ia membaham ramai manusia. Keunikan Bujang Senang berbanding buaya lain ialah belang putih di belakangnya yang berkemungkinan disebabkan menghidap penyakit genetik separa albino.

Legenda mistik membabitkan Bujang Senang pula bersandarkan dakwaan ia adalah jelmaan manusia yang mana cerita berkenaan masih disangsikan kesahihannya oleh pihak skeptikal.

Berita Harian X