KUALA LUMPUR: Kemenangan sudah mutlak menjadi milik Raysha Rizrose apabila dinobatkan sebagai Dewi Remaja 2014/2015, baru-baru ini.
Berusia 18 tahun, mempunyai personaliti tersendiri dan dilihat mempunyai pakej lengkap untuk bergelar anak seni, adik kepada Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose bakal mengikuti jejak kejayaan artis yang pernah menyertai pertandingan yang sama seperti Scha Alyahya dan Neelofa.
Mempunyai dua kakak yang terlebih dahulu mewarnai dunia seni, Raysha mengakui `tidak takut' dibayangi Nelydia dan Uqasha. Malah, dia enggan menjadikan hal itu sebagai perkara yang membantutkan keinginannya melakar nama di persada seni.

"Saya tidak kisah dengan tanggapan dibayangi kakak. Mahu atau tidak, saya perlu menangani dan berdepan dengan hal berkenaan. Tapi saya sudah buktikan kemenangan di Dewi Remaja ini bukan kerana kakak. Saya berdiri di atas kaki sendiri dan berjaya menapak sekali gus menjuarai pertandingan itu. Insya-Allah, saya sudah bersedia untuk menceburi dunia ini.
"Saya kena bersedia daripada setiap aspek yang tak terduga. Saya kena didik diri untuk sentiasa belajar. Dalam hal ini, kakak saya tak lokek berkongsi tip, nasihat dan pengalaman mereka. Jelas mereka lebih berpengalaman. Nelydia dan Uqasha, mereka sangat menyokong. Dari kecil lagi kami begitu akrab dan berkongsi banyak perkara bersama.

"Menerusi kakak, saya dapat melihat gambaran mengenai dunia hiburan yang sebenar. Nelydia berlakon pada usia 12 tahun dan ketika itu saya masih kecil. Nelydia dan Uqasha juga pernah dikecam itu dan ini. Itu harga yang perlu dibayar selepas melangkah ke dunia seni ini. Saya tak gentar, selagi kita tahu apa yang kita buat dan pandai bawa diri. Ini takkan membantutkan minat saya sekalipun ada halangan mendatang," katanya.
Biarpun masih muda, keyakinan dan personaliti pemilik nama penuh Farza Naquraisha Rizrose ini menyerlahkan kematangan.
Ditanya apa kelebihannya sehingga dinobat sebagai pemenang pertandingan Dewi Remaja itu, Raysha berkata, juri pasti mempunyai alasan konkrit memilih beliau.

"Pertandingan ini yang pertama saya sertai. Tamat sahaja sekolah menengah memang saya nak cuba sertai. Memang saya bercita-cita nak masuk dan akhirnya ia jadi kenyataan. Lebih manis, saya memenangi pertandingan ini. Pertandingan ini merangkumi semua aspek dan platform awal untuk berjinak-jinak di dalam dunia seni.
"Ia bukan pertandingan yang mengutamakan cantik semata-mata tetapi lebih daripada itu, ia mengangkat aspek kepintaran mendahului segala-galanya. Pertandingan ini mengajar saya untuk membiasakan keadaan membawa serta mewakilkan diri dengan baik dalam kalangan orang lain. Sejujurnya, saya lebih ke arah nyanyian dan lakonan, tapi mahu juga mencuba nasib dalam pengacaraan," katanya.
Mengulas lanjut, Raysha mengakui mengkagumi Lisa Surihani. Isteri kepada Yusry Abdul Halim itu, katanya, menampilkan ciri wanita yang mempunyai keseimbangan pakej cantik dan pintar. Seperti ada persamaan antara mereka, Lisa belajar undang-undang sebelum ini dan Raysha juga akan melanjutkan pelajaran bidang yang sama dalam tempoh beberapa tahun kelak.

"Saya pandang tinggi dan sentiasa mahu mencontohi Lisa Surihani. Dia sangat minimalis. Tanpa perlu bersolek tebal, personaliti dan minda Lisa melebihi kecantikan fizikal yang dimilikinya. Selain Lisa, saya juga kagumi Scha Alyahya dan Fazura. Mereka ada aura dan bijak bergaya. Hampir kebanyakan juara Dewi Remaja yang menang sebelum ini saya minat.
"Saya sepatutnya sambung belajar bulan depan tetapi dengan kemenangan ini saya perlu menangguh seketika apa yang dirancang. Saya mahu timba pengalaman dalam dunia seni terlebih dahulu. Insya-Allah lima tahun lagi, saya akan memenuhi impian untuk menuntut dalam bidang undang-undang," katanya.

Info Raysha Rizrose
* Kemenangannya dalam Dewi Remaja melayakkan dia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000. Selain itu, beliau juga turut memenangi kategori Dewi Berseri (Fair And Lovely).
* Baharu sahaja terbabit sebagai model klip video lagu Sampai Mati nyanyian Hazama.
* Tak lama lagi akan ke lokasi penggambaran filem Dukun Doktor Rani, yang turut dibintangi Fasha Sandha. Raysha membawa watak gadis kampung yang akan merampas kekasih Fasha.