Rabu, 27 Mei 2015 | 11:31am

Bayaran BR1M peringkat kedua esok, 4.65 juta penerima

KUALA LUMPUR: Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat kedua akan bermula esok, membabitkan 4.65 juta penerima, kata Kementerian Kewangan, hari ini.

Pembayaran peringkat kedua ini turut melibatkan tuntutan rayuan yang diluluskan kepada 141,670 penerima, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataan.

Melalui pengumuman Bajet 2015, kerajaan memutuskan supaya pemberian BR1M pada tahun ini diagihkan kepada tiga peringkat.

Bayaran peringkat pertama telah diagihkan pada 15 Januari 2015.

Pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing- masing.

Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima, dan boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank, CIMB dan Public Bank, yang berhampiran.

Pada masa sama, Ahmad Husni berkata kerajaan memperkenal Skim Khairat Kematian (SKK) dengan bantuan sebanyak RM1,000, bertujuan membantu waris penerima BR1M dalam kategori isi rumah dan warga emas yang telah meninggal dunia.

Sehingga kini, lebih 16,000 tuntutan SKK telah diluluskan, katanya.

Waris penerima BR1M yang dinamakan dalam Borang Permohonan BR1M, boleh membuat tuntutan SKK di mana-mana cawangan BSN dengan mengemukakan dokumen sijil kematian serta kad pengenalan diri waris.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, penerima boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta e-mel kepada: br1m@treasury.gov.my. - BERNAMA

Berita Harian X