Khamis, 28 Mei 2015 | 4:46pm

Kubur, kem yang ditemui masih baharu - Wan Junaidi

WAN Junaidi beramah mesra bersama anggota anggota PGA ketika melawat kawasan khemah petugas Ops Wawasan Khas di Markas Tektikal PGA di Wang Kelian. - Foto Eizairi Shamsudin

WANG KELIAN: Sebanyak 28 kem dan 139 kubur yang ditemui di Bukit Wang Burma di sempadan Malaysia dan Thailand di sini adalah masih baharu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, ia berdasarkan kain kafan yang digunakan untuk membalut mayat yang digali adalah masih dalam keadaan elok serta daun dan ranting pokok yang ditebang di kawasan itu juga masih baharu.

"Barang-barang makanan yang ditemui juga didapati masih baharu termasuk bumbung plastik kem," katanya kepada pemberita.

Beliau membuat lawatan kerja ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Wang Kelian hari ini yang turut disertai Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Katanya, hanya terdapat satu mayat pada setiap kubur dan mayat tidak ditanam secara beramai-ramai dalam kubur besar.

mayat dikafan secara sempurna mengikut ajaran islam, katanya.

"Semua jasad akan dibawa keluar bagi menjalani ujian patologi untuk mengetahui cara kematian sama ada mangsa turut diseksa.

"Masalah yang dihadapi ialah untuk membawa mayat turun dari tebing setinggi 571 meter. Namun kita akan berunding dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menggunakan helikopter," katanya.

Beliau berkata, kerja menggali semula kubur dan membawa keluar semua jasad dijangka selesai pada 8 Jun.

- BERNAMA

Berita Harian X