Jumaat, 29 Mei 2015 | 12:07am
SEBATANG sungai di sempadan turut menjadi penanda arah kepada PATI untuk memasuki negara ini. - Foto Danial Saad

Tonto dedah laluan seludup pendatang


BUKIT KAYU HITAM: Sepuluh laluan dikatakan menjadi pilihan utama sindiket pemerdagangan manusia untuk menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara melepasi sempadan Malaysia di sini.

Ada beberapa laluan itu melalui kawasan di bawah kawalan pihak berkuasa, namun dikatakan boleh dibolosi dengan bayaran tertentu membabitkan pihak sindiket dengan anggota penguatkuasa yang bertugas.


TONTO (kiri) menunjukkan senarai 10 lokasi laluan masuk yang popular di sempadan Thailand dan Malaysia. - Foto Danial Saad

Maklumat itu didedahkan tonto di situ, Rashid (bukan nama sebenar) yang mendakwa pernah terbabit secara langsung membawa masuk PATI dari kawasan transit sebelum dihantar ke lokasi tertentu seperti Alor Setar dan Pulau Pinang.

Katanya, kebanyakan laluan itu bersambung terus dengan sempadan di Dannok, Thailand melalui laluan tikus atau ladang berhampiran seperti di Ladang Rakyat dan kebun nanas sebelum sampai ke Changlun, di mana tonto atau tekong darat sudah bersedia mengambil mereka.

"Laluan tikus melalui lorong Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari Dannok, melintasi kem Pasukan Gerakan Am (PGA) adalah antara yang paling popular. Sudah tentu sindiket perlu bayar untuk lepas kawalan di situ. Tekong darat akan tunggu di kebun nanas atau Changlun.


KABEL voltan tinggi antara penanda utama untuk PATI memasuki negara di Kampung Nenas Ladang 1, Bukit Kayu Hitam. - Foto Danial Saad

"Dari Dannok, melalui belakang kem tentera terus ke kawasan baharu di Bukit Tangga juga antara yang popular. Ia melalui kawasan denai air di hutan sekitar itu. Di sini juga perlu ada bayaran untuk lepas kawalan. Dari Dannok juga boleh tembus ke balai bomba dalam masa 45 minit berjalan kaki yang akan disambut tekong darat di kawasan Padang Satu.

"Bukit Kachi di sekitar Universiti Utara Malaysia (UUM) turut menjadi laluan PATI meskipun dikawal tentera. Faham-fahamlah bagaimana mereka boleh lepas," katanya sambil menunjukkan lakaran pelan laluan PATI.

Bukan saja laluan tikus di hutan, laluan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) juga dikatakan mudah dibolosi dengan kegiatan menyeludup masuk PATI yang dikatakan dilakukan anggota pihak berkuasa sendiri.

Dakwaan penguatkuasaan di CIQ longgar ada benarnya apabila beberapa kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dilihat tidak diperiksa dan melepasi kawalan hanya dengan mengangkat tangan.

Malah, wartawan sendiri dengan mudah melepasi CIQ tanpa diperiksa. Penguatkuasa di situ tidak langsung bangun meninjau ke dalam kenderaan wartawan, mungkin kerana menyedari ada anggota pihak berkuasa lain di dalam kenderaan, sekali gus menyokong kenyataan mudah sesama mereka lepas tanpa diperiksa.

Laluan lain yang dikatakan turut popular digunakan PATI ialah laluan tikus bersebelahan Ladang Rakyat melalui kawasan kompleks bebas cukai, laluan lori yang turut digunakan penunggang motosikal dan diberi laluan oleh pihak polis serta laluan tikus berhampiran padang golf.

Laluan dari Dannok melalui kawalan PGA terus ke Kampung Langsat yang mengambil masa dua jam perjalanan dan yang dibawa sendiri oleh tekong Myanmar di kawasan Titi Kerbau turut dikatakan laluan popular mereka.

Berita Harian X