Jumaat, 29 Mei 2015 | 5:59pm

Moody's: Keputusan Q1 PETRONAS diambil kira dalam penarafan A1 Stabil

KUALA LUMPUR: Keputusan kewangan PETRONAS yang lemah pada suku pertama (Q1) berakhir 31 Mac 2015, sudah dijangkakan Moody's Investors Service, dan diambil kira dalam penarafan A1 Stabil.

Naib Presiden dan Pegawai Kanan Kredit Moody's Vikas Halan berkata keputusan suku pertama boleh disesuaikan dalam penarafan sedia ada yang disahkan pada Mac tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Halan berkata pada asas setahun penuh, Moody's yakin pendapatan syarikat akan susut kira-kira 30 peratus berdasarkan andaian purata AS$55 setong bagi harga minyak mentah Brent untuk 2015.

PETRONAS mencatat penurunan 39 peratus keuntungan bersih tahun ke tahun kepada RM11.4 bilion pada suku pertama, sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan 50 peratus petunjuk asas harga mentah.

Impak harga minyak yang rendah sebahagian besarnya diimbangi oleh jumlah jualan minyak mentah, dagangan gas diproses dan gas asli cecair yang lebih tinggi, selain nilai ringgit yang lemah berbanding dolar AS.

Halan yang juga Ketua Penganalisis bagi PETRONAS, berkata pengurangan dalam pembayaran dividen yang dirancang oleh PETRONAS sebanyak RM26 bilion pada 2015 berbanding RM29 bilion tahun lalu adalah perkembangan positif bagi syarikat itu memandangkan ia akan mengurangkan aliran tunai keluar yang akan mengukuhkan fleksibiliti kewangannya dalam persekitaran operasi yang tertekan.

Moody's menjangkakan PETRONAS akan mengekalkan hutang yang diselaraskan kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan kurang daripada 1.0x dan hutang diselaraskan kepada permodalan kurang daripada 20 peratus pada 2015.

Hingga 31 Mac 2015, PETRONAS mempunyai profil mudah tunai yang kukuh, dengan tunai dan bersamaan tunai, termasuk dana dan pelaburan lain berjumlah RM145 bilion berbanding hutang yang dilaporkan sebanyak RM55 bilion.

Moody's menjangkakan PETRONAS dapat mengekalkan kedudukan mudah tunai yang kukuh, yang menyokong metrik kredit syarikat selari dengan penurunan profil kewangannya. - BERNAMA

Berita Harian X